Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa hadir ke perasmian pembukaan Persidangan Antarabangsa Kosmopolitan Islam dan Muktamar ABIM Ke-51 di Bangi Avenue Convention Centre, Kajang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2022.

BANGI – Pakatan Harapan (PH) masih dalam perbincangan untuk memuktamadkan pembahagian kerusi gabungan ini sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, segala rundingan kerusi melibatkan gabungan itu masih lagi di meja rundingan.

“Itu sedang dirundingkan (semua kerusi ditandingi PH),” katanya menjawab pertanyaan media mengenai rundingan penuh mengenai kerusi PH pada PRU15 tidak lama lagi.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri Muktamar Sanawi dan Persidangan Antarabangsa Kosmopolitan Islam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyebut gabungan itu menyasarkan untuk menyelesaikan isu rundingan kerusi menjelang 30 September depan.

Malah Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim berkata, gabungan itu sudah memuktamadkan sekurang-kurangnya lima negeri dalam pembahagian kerusi.

Ditanya mengenai PH yang menubuhkan satu jawatankuasa rundingan mengenai permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai gabungan itu, Anwar berkata, ia  masih dalam proses rundingan.

“Sedang diteliti,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata PH aakn menubuhkan jawatankuasa rundingan bagi membincangkan niat Muda untuk menyertai gabungan tersebut.

Salahuddin berkata, rundingan itu sebaga langkah penglibatan dengan Muda selain menjelaskan parameter yang harus dimaklumkan kepada parti yang berhasrat untuk menyertai PH.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan, berkata parti itu bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan bagi menghadapi PRU15 selain terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH. – MalaysiaGazette