KUALA LUMPUR – Pembangkang tidak sepatutnya memutarbelitkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kesediaan jentera parti ‘meredah banjir’ untuk berkempen sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim tengkujuh.
Bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kenyataan tersebut tidak seharusnya dijadikan modal untuk mengecam Ahmad Zahid dan menuduh beliau kononnya tidak bertanggungjawab kerana tidak mempedulikan keselamatan orang ramai.
Menurut beliau, Ahmad Zahid hanya ingin menunjukkan kesungguhan jentera BN yang bersedia meredah banjir sekiranya perlu berbuat demikian.
“Tak ada pun Presiden UMNO kata beliau tidak peduli tentang keselamatan,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook beliau, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini, semalam.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyelar Ahmad Zahid kerana tidak mengutarakan langsung mengenai bantuan atau usaha menyelamatkan nyawa sekiranya banjir berlaku semasa kempen pilihan raya malah hanya menumpukan kepada jentera BN.
Zaid menambah, adalah mustahil PRU15 akan berlangsung dalam situasi banjir besar kerana ia tidak akan dibenarkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malah beliau berkata, PRU10 pada 29 November 1999 diadakan semasa musim tengkujuh namun situasi ketika itu tidak membahayakan.
“Kita tak perlulah cari isu-isu kecil seperti ini untuk hentam orang politik yang lain.
“Kita ambillah kenyataan dia itu dalam konteks Presiden UMNO menunjukkan semangat jentera BN yang sanggup meredah banjir untuk berkempen.
“Bukan dia kata selamat tak selamat nyawa orang, kita buat juga pilihan raya, dia tak kata begitu,” jelasnya.
Sehubungan itu, Zaid berharap agar budaya menghentam pemimpin politik parti lawan tanpa asas dapat dikurangkan.
“Semata-mata seorang pemimpin politik musuh kita berkata sesuatu, kita cari peluang, kita cari alasan untuk hentam dia. Ini sesuatu yang tidak sihat,” jelasnya. – MalaysiaGazette