ALOR GAJAH – Seorang pelajar Tingkatan Satu maut, manakala dua kakaknya, sepupu dan rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas di Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, mangsa, V Dayalini, 13, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka jam 1.10 pagi tadi.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka.
“Setiba di lokasi kereta dipandu seorang remaja berusia 17 tahun yang merupakan rakan kepada empat mangsa lain dipercayai terbabas masuk lorong bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian merempuh tebing tanah sebelah kanan menyebabkannya berpusing,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, nahas itu mengakibatkan seorang penumpang remaja perempuan berusia 13 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Kakaknya berusia 14 dan 16 tahun pula mengalami sakit di bahagian dada, manakala sepupu perempuan mereka berusia 16 tahun luka bahagian kaki dan tangan.
“Pemandu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki dan kesemua mereka dirawat di hospital Melaka,” katanya sambil menambah kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette