KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon telah melantik Safawi Rasid sebagai salah seorang daripada tiga kapten skuad Harimau Malaya bersama-sama Syafiq Ahmad dan Dion Cools bagi menghadapi Piala Raja Thailand ke-48 di Chiang Mai, Thailand, 22 hingga 25 September ini.
Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),  Syafiq dan Dion sebelum ini bersama-sama penjaga gol, Farizal Marlias dan Safiq Rahim merupakan empat kapten Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu tetapi dengan ketiadaan Farizal dan Safiq bagi kem latihan pusat kali ini, Safawi telah dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan tiga kapten Harimau Malaya untuk ke Chiang Mai.
Dion Cools yang meninggalkan kelab Denmark dan menyertai kelab Republik Czech, FK Jablonec baru-baru ini akan menyertai pasukan kebangsaan di Chiang Mai pada Isnin ini.
Pada kejohanan tersebut Malaysia akan bertemu Thailand Khamis ini dan pemenang perlawanan tersebut akan bertemu dengan pemenang antara Trinidad dan Tobago dan Tajikistan pada 25 September ini. – Malaysiagazette