KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menyifatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri lebih baik berbanding Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, Ismail Sabri telah meninggalkan legasi dan pembaharuan dalam tempoh setahun menjawat jawatan tersebut.
Ismail Sabri juga, katanya, telah menandatangani perjanjian (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) sebaik dilantik ke jawatan tersebut.
Sementara Muhyiddin pula kata Najwan akan diingati sebagai Perdana Menteri yang tidak berjaya.
“Bukan nak kata Ismail Sabri ini bagus sangat tapi yang jelas Ismail lebih bagus dari Tan Sri (Muhyiddin).
“Setidak-tidaknya, bila pilih untuk tandatangan memorandum persefahaman dengan PH ada juga legasi dan pembaharuan yang Ismail buat dalam tempoh setahun. Tan Sri pula dikenang sebagai PM gagal,” katanya di Twitter.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin hari ini menganggap Perdana Menteri sekarang gagal menguruskan masalah ekonomi negara ketika semakin ramai rakyat bergelut dengan kesusahan hidup.
Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos 2021 selepas dilantik kejawatan tersebut pada 29 Februari 2020.
Beliau meletakkan jawatan selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.
Ismail Sabri mengantikan tempat Muhyiddin selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: