Khairy menempelak laporan 1 MillionTV menerusi perkongsian di Instagram.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menempelak sebuah portal apabila melaporkan maklumat tidak tepat berkaitan dirinya yang kononnya keluar dari UMNO.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, beliau tidak suka dengan berita-berita seperti itu namun ramai juga yang bertanya kesahihannya menerusi mesej yang diterima.

“Saya tak suka layan berita macam ini tapi ramai mesej dan tanya. Saya tetap UMNO.

“Saya menang KP (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO)  tapi tak dilantik Kabinet, dipulau, tetap UMNO. Waktu kalah PRU-13 dan macam-macam political persecution, tetap UMNO.

“Saya kalah Presiden (UMNO) dan dipandang semacam, tetap UMNO. Kena cari kawasan baharu pun, tetap UMNO. Jangan risau. Dulu, kini, selamanya,” katanya menerusi Instastory di Instagram.

Terdahulu, sebuah channel Youtube 1 MillionTV memuat naik laporan kononnya Menteri Kesihatan itu keluar parti UMNO.

Laporan berita itu disunting dengan tajuk KJ Keluar UMNO! Sah. Keputusan Muktamad!! Mengejutkan UMNO!!.

Laporan berdurasi 2.08 minit itu mendapat lebih 8,000 tontonan sejak disiarkan di laman sesawang tersebut kelmarin.

Berdasarkan maklumat pada berita tersebut, Khairy dikatakan diberi dua kerusi Parlimen untuk dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Kerusi tersebut adalah Alor Setar dan Port Dickson.

Ia adalah berdasarkan arahan supaya beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008 mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut laporan berita itu juga, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau dikatakan sedang mengintai jawatan perdana menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada PRU-15. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast