Mohd Fared Mohd Khalid (tengah)

JOHOR BAHRU – Sebanyak RM3 juta Dana Pesakit Jantung Warga Johor disalurkan kepada individu sejak 2017 bagi meringankan beban mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, dana tersebut membabitkan pembedahan jantung yang meliputi alatan diperlukan seperti perentak jantung, rawatan susulan dan pendaftaran rawatan.

“Mengikut rekod untuk tahun 2019 sahaja sejumlah 142 pesakit telah dibantu dengan dana sebanyak RM856,255.

“Ramai yang tidak tahu untuk tahun 2020 sahaja kita telah pun membantu seramai 145 pesakit melibatkan kos RM602,560, manakala 2021 pula kerajaan negeri telah membelanjakan RM429,400 yang melibatkan 128 pesakit telah menerima manfaat itu,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus di Masjid Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.

Dana yang disalurkan kerajaan negeri Johor itu dilakukan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Mohd Fared menambah, individu yang ingin mendapatkan rawatan menerusi bantuan itu boleh membuat permohonan menerusi MAINJ atau Bahagian Pengurusan Kewangan Pesakit IJN.

Permohonan juga dibuka kepada warga Johor yang memenuhi syarat seperti golongan asnaf, ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati warga Johor yang berhasrat mendapatkan bantuan supaya tampil tanpa rasa segan.

Katanya, inisiatif yang disediakan itu sedikit sebanyak membantu golongan yang memerlukan terutama mereka yang mengalami masalah kewangan. – MalaysiaGazette