Penunggang motosikal cedera di kaki selepas melnggar Myvi yang berhenti di lorong kecemasan untuk menggambar pemandangan di Lebuhraya SUKE dalam kejadian semalam.- Gambar Ihsan IPD Ampang. Jaya

KUALA LUMPUR – Baru tiga hari Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dibuka sejak Jumaat lalu dan kini telah merekodkan kemalangan pertama membabitkan seorang penunggang motosikal.

Kejadian itu berlaku apabila seorang pemandu kereta berhenti di bahu jalan untuk merakam gambar pemandangan di atas lebuh raya tersebut menyebabkan mangsa merempuh kenderaan itu dari belakang.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku berhampiran Plaza Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur lebih kurang pukul 2.45 petang.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi kuning yang dipandu oleh seorang lelaki berhenti di lorong kecemasan di Lebuhraya SUKE dari arah Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur untuk melihat pemandangan sekitar dan mengambil gambar.

“Kemudian datang motosikal jenis Suzuki dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang sedang berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan.

Kes disiasat di bawah Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan manakala individu yang cuai menyebabkan kemalangan boleh dikompaun sehingga RM300.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak berhenti di lorong kecemasan jika tiada sebarang perkara keperluan atau kecemasan.

Katanya, berhenti di lorong kecemasan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikompaun sehingga RM300 malah tindakan individu yang sewenang-wenangnya berhenti di lorong kecemasan boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Fasa pertama Lebuhraya SUKE dibuka, tol percuma sebulan