musa puad
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam diingatkan tentang pelbagai kerosakan yang telah dilakukan oleh DAP dan PKR terhadap negara ini semasa Pakatan Harapan (PH) berkuasa selama 22 bulan dahulu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, segala perbuatan DAP dan PKR ketika mereka berkuasa merupakan kayu ukur terbaik untuk menilai kedua-dua parti berkenaan.

“Apa yang mereka buat? DAP wiped out di Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Institusi orang Melayu seperti Lembaga Tabung Haji dijahanamkan. PH lebih zalim. Pendakwaan politik, gugur kes Lim Guan Eng dan lantik orang politik sebagai Peguam Negara dan bos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, media melaporkan, Musa yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO berpandangan, DAP dan PKR lebih diterima rakyat pelbagai kaum terutamanya golongan muda kerana kedua-dua parti tersebut mengamalkan ideologi yang lebih meluas berbanding UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang lebih menekankan ideologi Melayu-Islam.

Musa mendakwa, konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan UMNO juga tidak lagi lagi relevan dalam arus politik semasa di negara ini.

Puad menambah, UMNO tidak mendefinisikan ‘Dominan Melayu’ sebagai ketuanan Melayu malah, ‘Melayu Unggul’ adalah istilah yang lebih tepat.

Menurut beliau, ketuanan Melayu tidak termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO kerana tujuan parti itu adalah agenda Melayu demi kesaksamaan di atas padang permainan yang sama rata.

“Matlamat Melayu Unggul ialah untuk menjadi bangsa yang berdaya saing, yang berilmu, yang berakhlak, sedia kongsi kuasa,menghormati hak kaum lain. Ia bukan untuk menzalimi kaum lain.

“Apakah itu perkauman? Sebab itu UMNO lebih awal melakukan tahaluf siyasi bila tertubuhnya Perikatan bersama MCA dan MIC. Ia diganti dengan Barisan Nasional (BN) dan kekal hingga ke hari ini,” jelasnya.

Puad turut mempersoalkan sama ada kayu ukur yang digunakan oleh Musa tepat apabila menyatakan ada wanita bertudung hadir dalam majlis pelancaran buku veteran DAP, Lim Kit Siang.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa, tindakan DAP meletakkan calon Melayu di kerusi majoriti pengundi Cina hanyalah kosmetik.

“DAP adalah parti orang Cina sama MCA. Sebab itu DAP hanya berani bertanding di kerusi kawasan kaum Cina,” katanya.

Puad percaya Musa tahu bahawa dasar BN adalah terbaik kerana ia menjaga kepentingan berbilang kaum walaupun ia didukung oleh parti-parti berasaskan kaum.

“BN tidak pernah tutup sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Sekolah itu tidak ada di Singapura,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar BN melaksanakan pendaftaran keahlian secara terus kerana ramai yang tidak suka berparti lebih menggemari BN berbanding Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette