Seorang Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti sebuah universiti awam di sini direman selama enam hari bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima rasuah sebuah kereta bernilai lebih RM170,000.

MELAKA – Seorang Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti sebuah universiti awam di sini direman selama enam hari bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima rasuah sebuah kereta bernilai lebih RM170,000.

Perintah reman yang  dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 50-an itu sehingga 26 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi menaiki kenderaan SPRM.

Semalam, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 petang di Pejabat SPRM Melaka di Alai selepas hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati suspek telah menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 i-vtec yang dianggarkan berjumlah RM174,500 daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor.

Tindakan itu adalah sebagai dorongan untuknya memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350. – MalaysiaGazette