KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyerang Gerakan Tanah Air (GTA) bermakna parti itu gementar dengan dengan perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, pada kelazimannya, pemimpin UMNO akan bersikap ‘diam seribu bahasa’ sekiranya sesuatu isu tidak memberi kesan kepada mereka.
“Strategi politik Tun Dr. Mahathir sentiasa digeruni oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan mereka selalunya ‘takut pada bayang-bayang’ sendiri.
“Bila majoriti daripada pemimpin-pemimpin UMNO melatah ianya memberi satu petanda baik kepada Gerakan Tanah Air (GTA) pada realitinya,” kata Khairuddin dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Puad sebelum ini dilaporkan berkata, hala tuju GTA yang diumumkan Dr. Mahathir diibaratkan setaraf dengan janji 100 hari yang penuh penipuan dan gagal.
Beliau berkata, hala tuju tersebut juga boleh disebut sebagai ‘Janji 100 hari 2.0’.
Menurut Khairuddin, Ahli MKT UMNO itu berhak untuk bercakap apa sahaja namun beliau tidak setara dengan Dr. Mahathir yang mempunyai pengalaman yang lebih luas.
“Sekali kalah tidak bererti kita akan kalah selamanya dan sekali gagal pun tidak bererti kita akan gagal buat selamanya juga.
“Sebenarnya, kami sudah bangkit dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran masa kini GTA telah mendapat sambutan serta reaksi positif dari majoriti orang-orang melayu dan kami amat yakin dapat menarik lebih daripada 25 peratus pengundi atas pagar untuk menyokong GTA pada PRU-15 nanti.
“Dalam apa jua keadaan majoriti daripada orang-orang Melayu serta kaum lain masih yakin dengan mutu kepimpinan bertaraf dunia Tun Dr Mahathir,” kata Khairuddin.
Media melaporkan, Mohd. Puad berkata, Dr. Mahathir sudah diberikan banyak peluang kerana dua kali jadi Perdana Menteri.
Namun Dr. Mahathir mensia-siakan peluang yang diberikan dan Mohd. Puad mendakwa bekas Perdana Menteri itu zalim kepada rakyat dengan janji 100 hari dan semakin zalim kepada musuh politiknya. – MalaysiaGazette