Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menangani kes sindiket pemerdagangan manusia melibatkan mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia secepat mungkin.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berharap dengan campur pemimpin nombor satu negara menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara sejak awal tahun ini.

“Ini memang bukan isu main-main dan rakyat kita yang sedang terperangkap, terkandas di negara-negara itu terutamanya di Myanmar dan Laos. Kita pernah cuba serahkan memorandum dengan pihak kedutaan negara-negara itu namun ada juga batasnya kerana kebanyakan negara ini tiada duta kita.

“Kita juga ada dakwaan wujudnya campur tangan junta, tentera yang melindungi sindiket dan kumpulan scammer ini selepas bertindak memerangkap rakyat kita yang tertipu kononnya ditawarkan kerja dengan gaji lumayan antaranya kerja penterjemah tapi akhirnya ditangkap, diculik dan dipaksa melakukan kerja-kerja scammer.

“Lebih menyedihkan apabila wanita yang menjadi mangsa didakwa melakukan kerja terkutuk seperti pelacuran dan apabila ingkar akan didera dan diugut jual organ serta dijual ke pihak lain. Yang terlibat dengan kerja-kerja scammer pula, mereka di paksa kerja hampir 24 jam tiap-tiap hari sebelum dikurung di lokasi yang dikawal tentera.

“Bagaimana keluarga mangsa hendak selamatkan anak-anak mereka yang terperangkap itu jika tiada campur tangan pihak atasan. Dalam kes ini hanya Perdana Menteri sahaja mampu melakukan keajaiban ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Warga Malaysia terjebak sindiket penipuan pekerjaan akan dibawa pulang – PM

MHO mengulas kenyataan PMO semalam yang memaklumkan jaminan Perdana Menteri memastikan warga Malaysia yang terkandas di luar negara akibat terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan dibawa pulang dengan selamat.

Ismail Sabri mendedahkan kini usaha-usaha sedang dijalankan kerajaan melalui semua saluran yang ada.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Pedana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah mengadakan perjumpaan dengan MHO serta keluarga mangsa-mangsa sindiket bagi mendapatkan maklumat terperinci untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dengan kerajaan prihatin serta mengambil serius isu rakyat terperangkap.

Dalam pada itu, kata Hishamuddin lagi, pihaknya tidak berminat mempolitikkan perkara itu dan hanya mampu ia diselesaikan secara baik.

“Kita tidak minta PM kita campur urusan dalaman negara seperti Myanmar, Laos atau Kemboja. Itu isu mereka. Kita cuma mahu rakyat kita yang memang tertipu itu pulang dengan selamat, itu sahaja. Hanya PM ada kuasa untuk menggunakan semua platform dan pilihan yang ada.

“Kita harap sangat satu keputusan dan tindakan tegas akan di ambil mungkin dalam mesyuarat kabinet hari ini. Ini bukan permintaan saya, ini rayuan dari keluarga mangsa, keluarga mangsa ini adalah seperti keluarga kita juga, tolonglah,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Harap PM guna ‘keajaiban’ selamatkan mangsa sindiket luar negara – MHO

Terpengaruh gaji lumayan faktor jadi mangsa sindiket

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast