KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengadakan protes pada Sabtu ini bagi membantah hasrat kerajaan mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih awal.
Protes bertemakan ‘Nyawa Dulu Baru PRU’ dijangka diadakan di pusat beli-belah Sogo di sini pukul 4 petang.
Ahli Jawatankuasa Pusat MUDA, Nurainie Haziqah Shafii berkata, himpunan itu membabitkan dua tuntutan utama iaitu mendesak kerajaan menangguhkan PRU-15 dan membentang pelan mitigasi banjir.
“Sabtu ini, kita akan adakan protes agar tangguhkan PRU-15 kerana tidak patut dilakukan tahun ini. Ini adalah sangat tidak bertanggungjawab. Kami juga tuntut langkah pelan mitigasi banjir yang lebih tersusun sebab masih tiada langkah dari kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Nurainie, protes tersebut dibuat berikutan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaan jenteranya meredah banjir jika PRU-15 terpaksa diadakan pada musim tengkujuh.
Jelas Haziqah, desakan agar PRU-15 disegerakan bukan demi kepentingan rakyat sebaliknya ia dilakukan untuk menyelamatkan Presiden UMNO itu daripada pertuduhan di mahkamah.
Sehubungan itu, Haziqah berharap BN mengimbas kembali kesukaran rakyat menghadapi tragedi banjir besar pada hujung tahun lepas.
“Pemimpin UMNO dan BN, lapan buah negeri dengan lebih 70,000 mangsa banjir hilang tempat tinggal dan mata pencarian dengan RM6.5 bilion kerugian ekonomi dicatatkan. Ada yang hilang ahli keluarga dan beribu rakyat masih trauma, ini bukan hal remeh,” katanya. – MalaysiaGazette