PAIP berjaya menyelesaikan kerja-kerja pembaikan paip air mentah bersaiz 1500mm di Mahkota Golf & Country Club (MGCC), di sini, kurang dari tempoh 48 jam seperti jangkaan asal.

KUANTAN – Sebanyak 18,250 pengguna sudah mula menerima bekalan air selepas kerja-kerja pembaikan paip di Mahkota Golf & Country Club (MGCC), di sini selesai kurang dari tempoh 48 jam daripada jangkaan asal

Kawasan-kawasan tersebut meliputi sebahagian Jalan Bukit Setongkol, seluruh kawasan Jalan Hj. Junid, Jalan Darat Makbar, Jalan Kg. Jawa, Jalan Wong Ah Jang, Taman Zurina, Sri Teruntum , Jalan Mat Kilau dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Seluruh kawasan Jalan Penjara, Pejabat MBK, Kemunting, Giant, LKIM, JKR Elektrik, Jalan Besar, Jalan Mahkota, Kompleks Teruntum, Kuantan Parade, Jalan Hj. Abd Aziz dan Jalan Merdeka.

Selain itu seluruh kawasan Jalan Bank, Masjid Negeri, Wisma Persekutuan, Ibu Pejabat Polis Kuantan, Wisma TNB, Jalan Gambut, Megamall, KCM, ECM, Jalan Tun Ismail, Lorong Jalan Hj. Ahmad 1hingga 8, UTC, Pasar Besar dan Jalan Lim Hoe Lek.

Kawasan lain,  seluruh  Lorong Sri Kuantan 1 hingga 6, sebahagian Jalan Teluk Sisek, AC Marriot Hotel dan sekitarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP),  Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, pengguna dijangka mendapat bekalan air secara berperingkat ekoran tangki-tangki imbangan dan tangki simpanan dalam proses dipenuhkan untuk membina tekanan dan aliran yang baik.

Berikutan itu, bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan-kawasan yang masih terjejas sehingga semua kawasan telah pulih bekalan air sepenuhnya.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan itu diselesaikan pada jam 1 pagi tadi.

“Dengan selesai kerja-kerja pembaikan ini, pam air mentah di Rumah Pam Kobat telah dapat dihidupkan dan kembali beroperasi.

“Sehingga jam 5 pagi, operasi pam dapat dijalankan untuk dihantar kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses sebagai air yang terawat,” katanya yang menegaskan PAIP komited dalam memastikan perkhidmatan air kepada pengguna tidak akan terus tergendala. – MalaysiaGazette