KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan pihak Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Keputusan tersebut diambil dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung hari ini.
Menurutnya, rundingan tersebut bagi mengelakkan pertembungan antara parti terbabit ketika PRU-15 berlangsung
“Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam mesyuarat hari ini telah meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan MUDA serta hasrat PSM untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan secara rasmi.
“Hasrat MUDA dan PSM ini bererti parti-parti yang bersedia berpegang pada prinsip-prinsip dan berada di landasan yang sama dengan Pakatan Harapan dapat dirangkul kekuatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Pada masa yang sama, pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa ini dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen Pakatan Harapan.
Nik Nazmi Nik Ahmad akan mewakili PKR, Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (AMANAH) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO).
MUDA sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersama dengan PH dan akan bertanding di 15 Parlimen.
Manakala PSM sekali lagi mahu kembali meneroka kemungkinan bekerjasama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette