KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyindir pemimpin-pemimpin UMNO kerana tidak berani menyanggah desakan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini.
Kit Siang berkata, setakat ini, hanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar sahaja yang lantang membantah untuk menyegerakan PRU-15 susulan jangkaan berlaku musim tengkujuh dan banjir pada hujung tahun ini.
“Adakah Khairy satu-satunya menteri atau pemimpin UMNO yang berani untuk tidak bersetuju dengan Zahid dalam mengatakan bahawa salah untuk mengadakan PRU-15 semasa musim tengkujuh dan banjir?
“Menteri Kesihatan telah mengatakan bahawa mengadakan pilihan raya umum semasa musim tengkujuh bukanlah satu tindakan yang bijak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Khairy menjelaskan, PRU-15 tidak sesuai diadakan pada musim tengkujuh kerana pelbagai kekangan.
Beliau berkata, apabila banjir, banyak tenaga kerja diperlukan pada PRU15 akan dikerahkan untuk menjaga pusat pemindahan sementara (PPS) dan pemindahan mangsa bencana berkenaan.
Jelasnya, kemudahan yang akan digunakan untuk proses pengundian juga ada antaranya menjadi PPS untuk menempatkan mangsa banjir.
Tambah Khairy, lazimnya kerajaan akan mengelakkan pilihan raya pada waktu banjir dengan mengambil kira faktor keselamatan, tenaga kerja dan faktor kesihatan.
Ia susulan peningkatan penyakit berjangkit, penyakit bawaan air yang memerlukan rawatan dan ini tidak termasuk demam serta selsema.
Pada 17 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU-15.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu. – MalaysiaGazette