KUALA LUMPUR – Komisioner Datuk Bahuddin Ahmad hardilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman yang baharu dengan memangku Gred VUYA5 Jusa A.
Baharuddin ketika ini menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 di Bukit Aman dan akan menggantikan Datuk Zamri Yahya yang telah bersara wajib sebelum ini.
Beliau mendahului senarai pertukaran membabitkan seramai 26 orang pegawai kanan dalam Polis Diraja Malaysia yang diumumkan Bukit Aman hari ini.
Pelantikan baharu dan kenaikan pangkat kesemua pegawai kanan tersebut akan berkuatkuasa pada 25 Oktober ini, kata Setiausaha Polis Malaysia Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin hari ini.
Timbalan Ketua Penolong Pengarah E4, Cawangan Khas, Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Mohd Khalid Ismail pula mengisi jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 di Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis selepas ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Datuk Muhamad Zaki Harun pula diangkat sebagai Ketua Polis Kelantan yang baharu dengan memangku Komisoner Polis menggantikan bekas penyandangnya Datuk Shafian Mamat yang telah bersara wajib sebelum ini.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Johor Deputi Komisioner Datuk Khaw Kok Chin pula berpindah ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) di Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Manakala, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob akan menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan yang baharu dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Ketua Cawangan Khas Johor Senior Asisten Komisioner Jalaludin Hamid dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E4, Cawangan Khas di Bukit Aman.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner M Kumar S.Muthuvelu pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor dengan memangku Deputi Komisioner.
Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Pulau Pinang, Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof pula dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Johor dengan memangku pangkat SAC.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Dasar Strategik), Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid akan menjalankan tugas sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Johor dengan pangkat SAC. – MalaysiaGazette