Polis Melaka menumpaskan satu sindiket pecah kereta dikenali Geng Batam yang didalangi warga Indonesia yang menggunakan tangkal dan jampi serapah untuk mengaburi tindakan jenayah dikesan pihak berkuasa.

MELAKA – Polis Melaka menumpaskan satu sindiket pecah kereta didalangi warga Indonesia dikenali Geng Batam yang menggunakan tangkal dan jampi serapah untuk mengaburi jenayah mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit  berkata, kesemua lelaki berusia antara 22 hingga 41 tahun itu ditahan di Senai, Johor Bahru sekitar jam 9.30 malam 14 September lalu.

Menurutnya Geng Batam itu didapati bergerak menggunakan kenderaan yang disewa di Johor untuk ke Melaka semata-mata untuk melakukan jenayah pecah kereta.

“Dalam serbuan itu, polis turut menjumpai barang-barang beserta ayat-ayat dan kalimah jampi serapah yang dipercayai digunakan semua suspek sebagai tangkal atau pendinding bagi mengaburi jenayah mereka dikesan pihak polis.

“Turut dirampas adalah pakaian yang dipakai semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Christopher, modus operandi digunakan geng terbabit adalah dengan menyasarkan kenderaan yang mempunyai barang berharga sebelum bertindak memecahkan cermin menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh.

“Dengan tertumpasnya kumpulan Geng Batam didalangi warga Indonesia ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes jenayah pecah cermin kereta di dalam daerah Melaka Tengah.

“Kesemua suspek direman dan akan dituduh di Mahkamah Melaka selepas selesai siasatan.

“Pihak polis juga menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan bagi yang akan membuka peluang kepada penjenayah,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast