Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian wang tunai majikannya berjumlah RM50,000 yang dilaporkan hilang pada 15 September lepas di sebuah rumah di Pandan Prima, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita warga Indonesia itu ditahan selepas majikannya membuat laporan polis kehilangan wang tunai yang disimpan dalam beg tangan dan diletakkan di dalam stor kediamannya.

Menurut mangsa yang juga suri rumah, duit yang hilang itu dikeluarkan pada 14 September lalu sebelum disedari hilang pada kira-kira pukul 4 petang keesokan harinya.

“Duit yang hilang dikeluarkan daripada akaun syarikat milik suami wanita terbabit dengan tujuan untuk disimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik anak-anaknya.

“Namun, suri rumah itu tidak sempat memasukkannya kerana sibuk dengan urusan perpindahan,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan daripada laporan itu polis menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 9 malam Rabu lalu.

“Wanita berusia 58 tahun itu sudah bekerja sebagai pembantu rumah dengan mangsa selama kira-kira tujuh tahun dan masih bekerja selepas kejadian itu

“Tiada apa-apa rampasan dibuat semasa tangkapan dan suspek juga tidak melarikan diri,” katanya.

Suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian awal air kencing negatif sebarang jenis dadah.

Bagaimanapun katanya, suspek didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bekerja tanpa permit.

Suspek direman selama empat hari sehingga esok dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Mohamad Farouk turut memberi amaran supaya orang ramai menggaji pekerja asing mengikut undang-undang. – MalaysiaGazette