Nasrul Ali Hassan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Ketika Perdana Menteri dari UMNO masih berkuasa, pemimpinnya haruslah bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatur gerakan untuk membangunkan negara, bukan membuat desakan supaya Parlimen dibubarkan awal.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai contoh, yang dilihat rapat dengan Perdana Menteri,\ sepatutnya mengemukakan resolusi untuk membangunkan semula ekonomi negara, termasuk menyelesaikan masalah rakyat.

Ketua Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, bukan menunjukkan sikap rakus hendak berkuasa sehingga hilang sifat kemanusiaan dengan kegelisahan rakyat dalam mengharungi banjir.

Katanya, bencana banjir sukar diramal lebih lagi yang berlaku di Hulu Langat dan Baling di Kedah baru-baru ini menyaksikan beberapa nyawa terkorban dan penduduk hilang tempat tinggal.

“Semuanya tidak menjangka banjir itu menyebabkan tragedi. Jadi, jangan terlalu ghairah mendesak Perdana Menteri supaya adakan pilihan raya awal iaitu dalam musim tengkujuh ini.

“Fikirlah golongan peniaga kecil, orang kurang berkemampuan yang kerja makan gaji berada dalam dilema ketika ini jika berlaku banjir besar. Ia akan memutuskan rezeki dan menghalang mereka mencari nafkah.

“Fikirkan juga yang mempunyai ahli keluarga kurang upaya atau golongan tua yang uzur bagaimana hendak menghadapi banjir dan menyelamatkan diri dari bencana itu jika berlaku dalam musim pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nasrul Ali Hasan menasihatkan pemimpin UMNO agar jadilah lebah yang sentiasa lihat perkara cantik dan indah, jangan menjadi lalat yang suka menghurung benda busuk serta lihat keburukan.

“Dahulu ketika Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri mereka sibuk desak letak jawatan, sekarang apabila diganti dengan pemimpin UMNO sebagai Perdana Menteri, mereka sibuk desak PRU diadakan cepat.

“Apakah Malaysia ini milik UMNO sehingga semua perkara mesti ikut kehendak mereka? Sampai bila rakyat perlu dibuli dengan keangkuhan dan kerakusan pemimpin politik ini?

“Ingatlah, rakyat sudah mula meluat dengan politik hari ini, yang mana sepatutnya politik adalah platform terbaik untuk bersuara serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette