Melayu Mahathir SPR
Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan mengambil kira masalah yang dihadapi pembangkang sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Tanah Air (GTA) berkata, ini kerana masa diperlukan untuk parti pembangkang menyusun strategi untuk menghadapi pilihan raya sekiranya diadakan ketika waktu bencana.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) turut berharap kerajaan tidak membuat keputusan hingga menyebabkan pembangkang tidak dapat mengambil bahagian dalam PRU15.

“Waktu sesuai PRU15 adalah masa yang tenang dalam negara di mana tidak ada banjir dan angin kencang.

“Bagi masa untuk kita susun bukan parti kerajaan sahaja tetapi kerajaan mesti ambil berat juga parti lawan.

“Jangan nak buat sesuatu supaya parti lawan tidak dapat ambil bahagian dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil
NGO Ikhlas di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mahathir menegaskan, sekiranya PRU15 diadakan pada bencana banjir, ia tidak sesuai dan menyebabkan kesukaran pengundi untuk bergerak.

“(PRU15) tak sesuai. Payah hendak bergerak. Ramai orang tidak boleh undi.

“Mungkin ada yang cedera dan mati dan tak sesuai diadakan pilihan raya.

“Tapi kita bersedia kalau diadakan banjir dan berusaha menjaga masalah banjir bersama dengan masalah lain,” katanya. – MalaysiaGazette