Pasangan suami isteri hadir di mahkamah atas pertuduhan mendera kanak-kanak yang cuba terjun dari kondominium Ampang pada 16 September lalu di Mahkamah Sesyen Ampang,Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 SEPTEMBER 2022.

AMPANG – Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini pagi tadi atas dua pertuduhan menganiaya dua anak saudaranya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal sejak bulan lalu.

Tertuduh, Julianah Omar, 34, dan suaminya Muhammad Asyari Mohd Alwi, 29, yang merupakan ibu dan bapa saudara kepada kedua-dua mangsa membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mohd Norisham Wan Yaakob selepas kertas pertuduhan mereka dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pasangan itu secara bersama menganiaya dua beradik masing-masing berusia enam dan tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Julianah yang merupakan seorang suri rumah bersama suaminya didakwa melakukan kesalahan itu antara Ogos sehingga 16 September 2022 pada jam lebih kurang 5.05 petang bertempat di rumahnya di Tingkat 4, Apartmen Bella Vista, Jalan Cahaya di Taman Cahaya Ampang.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri hadir di mahkamah atas pertuduhan mendera kanak-kanak yang cuba terjun dari kondominium Ampang pada 16 September lalu di Mahkamah Sesyen Ampang,Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 SEPTEMBER 2022.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Ali manakala peguam Azlinie Othman mewakili kedua-dua tertuduh tersebut.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:Pasangan suami isteri disyaki dera 2 kanak-kanak didakwa di mahkamah esok

Kes dera dua kanak-kanak, polis tahan ibu saudara dan suaminya

Kanak-kanak disyaki mangsa dera lari ikut tingkap kondominium

Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali dalam hujah menawarkan wang jaminan RM15,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh itu.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa sehingga selesai kes perbicaraan.

“Tuan Hakim kedua-dua mangsa kanak-kanak itu kini menerima rawatan di Hospital Ampang dan akan diserahkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Pasangan suami isteri dibawa ke mahkamah atas pertuduhan mendera kanak-kanak yang cuba terjun dari kondominium Ampang pada 16 September lalu di Mahkamah Sesyen Ampang,Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 SEPTEMBER 2022.

Bagaimanapun, peguambela Azlinie Othman merayu mahkamah agar membenarkan suatu wang jaminan yang terendah dengan mengambil kira faktor kesihatan suspek wanita tersebut.

“Tuan hakim, untuk makluman saya meminta mahkamah mengambil kira status tertuduh pertama yang merupakan seorang suri rumah berusia 34 tahun dan mengandung selama lima bulan ketika ini.

“Keadaan tertuduh adalah berstatus ‘high risk’ dan memerlukan bekalan dan rawatan berkala di hospital memandangkan dia pernah mengalami keguguran pertama dan kini mengandung lima bulan bersama pasangan baharunya iaitu seorang pemandu e-hailing berpendapatan tidak tetap sekitar RM1500 sahaja sebulan.

“Hari ini, ahli keluarga kedua-dua tertuduh iaitu adik tertuduh pertama hadir sebagai penjamin dan hanya berpendapatan RM2,000 sebulan serta penjamin akan memastikan kedua-dua tertuduh hadir ke perbicaraan mahkamah tanpa masalah,” katanya.

Tambah beliau, lagipun jumlah wang jaminan RM15,000 yang dicadangkan oleh TPR adalah diluar kemampuan kedua-dua tertuduh sambil merayu agar kadar jaminan terendah sebanyak RM8,000 sahaja dibenarkan untuk setiap tertuduh dan tiada masalah untuk semua syarat tambahan yang ditetapkan nanti.

Pasangan suami isteri hadir di mahkamah atas pertuduhan mendera kanak-kanak yang cuba terjun dari kondominium Ampang pada 16 September lalu di Mahkamah Sesyen Ampang,Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 SEPTEMBER 2022.

“Malahan, kami juga mendapat rekod perubatan tertuduh emak saudara mangsa yang mana dia mempunayai penyakit kencing manis dan gout yang turut memerlukan rawatan perubatan manakala ibu mangsa juga tidak hadir kerana dia duduk di Sabah,” katanya.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim menetapkan wang jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya dan mengekalkan syarat-syarat tambahan yang dicadangkan oleh TPR.

Beliau turut menetapkan 3 November 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen untuk mendapatkan status laporan perubatan penuh kedua-dua mangsa dalam kes tersebut.

Terdahulu, dalam satu kenyataan awal insiden itu pada Jumaat minggu lepas, Ketua Polis daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan tangkapan adik perempuan kepada ibu kandung kedua-dua mangsa.

Manakala suami suspek wanita itu yang merupakan pemandu e-hailing berusia 29 tahun yang mempunyai satu rekod jenayah lampau turut ditahan sebelum mereka direman selama tujuh hari untuk membantu dan melengkapkan kertas siasatan polis.

“Ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati negatif sebarang jenis dadah,” katanya.

Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai didera dan dikurung cuba melarikan diri dengan keluar dari tingkap di tingkat empat Kondominium Bella Vista, Jalan Cahaya 13, Ampang.

Merkea dipercayai dikurung dalam sebuah bilik di kondominium tersebut dan cuba terjun dari tingkat empat kediaman ibu saudaranya itu sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat yang bergegas ke lokasi bertindak atas aduan awam semasa kejadian.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, adik kepada kanak-kanak yang berkenaan yang berumur enam tahun juga didapati menjadi mangsa dera apabila mempunyai kesan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan. – MalaysiaGazette