Motosikal yang dalam proses diubah suai disita pihak polis dalam serbuan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang semalam bagi mengesan pemiliknya.

GEORGE TOWN – Pelbagai lapisan umur, latar belakang termasuk golongan profesional sanggup melaburkan ribuan ringgit untuk mengubah suai motosikal mereka bagi kegiatan lumba haram.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia 40 tahun ke atas pula dikatakan mengubah suai motosikal mereka untuk kegunaan ‘joki’ yang mana menjadi satu kepuasan sekiranya motosikal mereka menang dalam lumba haram.

Itu antara pendedahan pemilik bengkel motosikal di Tanjung Bungah di sini, selepas dikesan terlibat dalam kegiatan ubah suai bagi kegunaan mat rempit oleh pihak polis.

Pemilik bengkel sedang berbual dengan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong selepas bengkelnya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang diserbu semalam.

Pemilik bengkel yang ingin dikenali sebagai Zam itu berkata, dia sudah berkecimpung dalam dunia pemotoran termasuk mengusahakan bengkel sejak 13 tahun lalu menyebabkan dia mampu memahami dan memenuhi kehendak pelanggannya.

“Pemilik motosikal sanggup menghabiskan sekurang-kurangnya RM8,000 untuk mengubah suai motosikal mereka bagi memastikan keupayaan serta kelajuan kenderaan itu mengatasi pelumba lain.

“Golongan muda tidak mampu untuk melaburkan duit sebanyak itu sekali gus menyebakan mereka akan mengubah suai barang yang penting saja.

“Situasi itu berbeza bagi mereka yang sudah berumahtangga, mempunyai kerjaya serta berusia 40-an yang mana sanggup melaburkan ribuan ringgit agar motosikal mereka digunakan joki lumba haram dan ia dianggap sebagai satu kepuasan buat golongan sebegini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Mengulas lanjut, Zam mendakwa motosikal jenis Yahama Y15 serta 125 Z menjadi kegilaan mat rempit buat masa kini memandangkan kelajuan motosikal itu mampu cecah 200 kmj sekiranya diubah suai.

Keadaan sebuah motosikal yang dipercayai sedang diubah suai untuk kegunaan lumba haram.

“Saya tidak tahu mereka guna untuk kegiatan lumba haram atau sekadar hobi ini kerana barangan yang digunakan mereka bukan dijual oleh saya sebaliknya dibeli daripada kedai alat ganti tulen dan saya sebagai mekanik hanya mengambil upah memasangkan peralatan tersebut.

“Memang orang akan cakap tak logik saya tak tahu kegiatan mereka ini sebagai seorang pemilik bengkel motosikal tapi bukan semua orang ubah suai motosikal untuk berlumba ada juga berbuat demikian untuk kepuasan diri sendiri serta bagi tujuan konvoi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast