KouvexT Strallex RTK-Antibody RTK-Antibodi Covid-19
Kit ujian antibodi Covid-19 yang dikeluarkan olehe Strallex Sdn. Bhd. Foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Strallex Group Sdn. Bhd. akan memperkenalkan KouvexT, Kit Ujian Pantas (RTK) Antibodi Neutral Covid-19 di pasaran bagi mengesan antibodi yang dihasilkan oleh sistem daya tahan tubuh manusia sebagai tindak balas kepada virus yang menyebabkan Covid-19.

Ketua Pegawai Operasinya, Glenda Chang berkata, kit ujian itu telah diuji oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan mempunyai ketepatan 98%.

Kit tersebut akan diedarkan di farmasi, klinik dan hospital setelah kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah disiap sediakan.

Menurut beliau, idea mengeluarkan kit itu bermula Jun tahun lalu dan ia mengambil masa sehingga lima bulan untuk menjalankan penyelidikan.

Ketua Pegawai Operasi Strallex Group Sdn. Bhd, Glenda Chang menunjukkan produk baru Kit Ujian Pantas Antibodi Nuetral Covid-19 jenama KouvexT ke Pejabat Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2022.

“Idea kit ujian ini timbul sebagai inisiatif untuk mengesan tahap antibodi manusia selepas mengambil dos penggalak pertama dan kedua yang mana berbeza dengan pengambilan dua vaksin sebelum ini.

“Jadi kami mahu menghasilkan produk yang dapat memastikan antibodi badan masih memerlukan dos penggalak atau tidak.

“Apatah lagi, saya mempunyai pendedahan penyakit seperti Hepatitis A dan B yang perlu diuji antibodi badan dulu sebelum mendapat suntikan,” katanya ketika mengunjungi pejabat MalaysiaGazette di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak.

Cara melakukan ujian antibodi Covid-19 menggunakan KouvexT, kit yang dihasilkan oleh Strallex Group Sdn. Bhd. Foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2022.

Glenda menambah, RTK dihasilkan mengguna teknologi bahan mentah dari luar negara seperti Eropah dan China.

Namun beliau menjelaskan, pihaknya menyimpan visi untuk menghasilkannya di Malaysia pada masa akan datang.

Beliau memberitahu, buat permulaan sebanyak 5,000 unit RTK dikeluarkan sempena pelancarannya pada bulan depan.

“RTK ini sangat mudah apabila darah individu diambil dan keputusan akan diperolehi dalam masa 10 minit.

“Tanda dua baris merah menunjukan keputusan antibodi seseorang masih tinggi manakala tanda satu baris menunjukkan antibodi badan makin rendah dan memerlukan dos pengggalak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast