ALOR GAJAH – Seramai 37 pekerja kilang nyaris maut selepas bas dinaiki terjunam ke dalam tebing sebelum tersangkut pada pokok pada ketinggian 50 meter dari Jalan Simpang Gading/Kesang Pajak, di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Abu Bakar Katain berkata, dalam kejadian kira-kira 7.50 malam itu, 14 mangsa termasuk pemandu bas berusia 40-an parah dan dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca apabila bas dinaiki pekerja asing warga Nepal dan Myanmar itu mengalami masalah brek menyebabkan ia menggelungsur sejauh 150 meter di jalan bercerun di hadapan asrama pekerja sebelum terjunam ke tebing jalan mati berkenaan.
“Sebanyak tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Jasin Bistari dan Alor Gajah dengan kekuatan 27 anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.57 malam.
“Pasukan bomba mengambil masa selama 45 minit untuk membawa keluar 37 pekerja warga Nepal dan Myanmar termasuk pemandu bas warga tempatan berusia 40-an.
“Seramai 14 mangsa termasuk pemandu bas mengalami kecederaan berat (parah) dan dikejarkan ke Hospital Jasin manakala 24 menerima rawatan di klinik berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi nahas di sini malam ini.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi sistem brek bas berkenaan, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Ia mengakibatkan bas menggelungsur sebelum terjunam dan tersangkut pada pokok di ketinggian 50 meter dari tebing jalan,” katanya. – MalaysiaGazette