Kesemua pemenang pertandingan Ejaan Jawi Tepat, Roda Impian Jawi dan Kahoot Jawi yang mengambil bahagian sempena pertandingan Hari Jawi Pahang semalam.

KUANTAN – Seramai 110 peserta dari 23 institusi pendidikan agama di negeri ini  menyertai aktiviti sempena Hari Jawi Pahang di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) semalam.

Munsyi Pahang yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, program ini melibatkat tiga acara pertandingan berkaitan jawi.

Acara itu berlangsung di Auditorium Tuanku Censelor UnIPSAS mengetengahkan pertandingan ejaan tepat jawi, roda impian jawi dan kahoot jawi.

Asmadi berkata, pertandingan seni jawi itu merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bersama UnIPSAS.

“Sebanyak 18 buah Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang (SMAN), empat buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menyertai pertandingan kali ini.

“Pertama kali acara ini dijalankan ialah pada tahun 2021 acara atas talian dan dan satu acara sahaja iaitu Roda Impian.

“Namun apabila program ini diadakan secara bersemuka ia menjadi lebih menarik dan penyertaan juga semakin bertambah,” katanya.

Katanya, program itu mencapai objektif bagi memberi pendedahan sistem tulisan jawi yang tepat dan jelas serta kaedah ejaan jawi yang betul, di samping melahirkan sikap berani mencuba dalam kalangan pelajar dalam menulis dan mengeja jawi di depan khalayak ramai. – MalaysiaGazette