Gambar hiasan

SEBELUM saya mula mengulas mengenai isu yang dibawa berdasarkan tajuk artikel ini, saya ingin menyatakan bahawa ulasan yang bakal saya bawakan ialah sebuah respons kepada sebahagian daripada isi-isi penting daripada artikel seorang kolumnis di portal IKRAM iaitu artikel saudari Roselinee Mohammad Radzi. Artikelnya (https://ikram.org.my/gejala-burnout-pada-ibu-bapa-punca-cara-atasi/ ) yang bertajuk “Gejala Burnout Pada Ibu Bapa – Punca & Cara Atasi” yang telah diterbitkan pada 25 Mei 2022 yang lalu menarik minat saya untuk mengulas lanjut berkenaan salah satu punca berlakunya lesu upaya atau “burnout” dalam kalangan ibu bapa.

Menurut beliau, walaupun gejala-gejala lesu upaya boleh berlaku sama ada dalam kalangan ibu ataupun bapa, sering kali golongan ibu akan menghadapi gejala lesu upaya yang lebih serius berbanding golongan bapa. Tambah beliau lagi, hal ini disebabkan oleh keperluan yang mendesak bagi seseorang ibu untuk mengimbang tugasan kerja di pejabat dan tugasan menjaga anak-anak dan suami di rumah. Manakala bagi golongan suri rumah pula, mereka terpaksa menghadap rutin yang sama
setiap hari di rumah. Keadaan ini boleh diburukkan lagi jika seseorang suri rumah itu kekurangan kawan dan kenalan untuk berkongsi masalah hidup dan kurangnya penghargaan seorang suami terhadapnya.

Kesukaran dan cabaran seorang ibu dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawabnya mungkin dipandang sebagai biasa-biasa dan dianggap sudah jadi lumrah seorang wanita bernama ibu yang perlu menghadapi segala kerenah anak-anak dan rumah tangga. Namun begitu, apabila penulis membaca pula sebuah pengakuan dalam laman “IIUM Confession” yang bertajuk “Aku Benci Jadi Mak”. Jiwa ini luluh dan pilu mengenangkan nasib seorang ibu yang mengalami lesu upaya yang amat parah sehingga pada tahap membenci anaknya sendiri namun berada dalam konflik atas dasar mempertimbangkan kewarasan seorang manusia dan seorang ibu yang perlu menyayangi dan memelihara anaknya.

Cubalah kita bayangkan, selain bekerja di pejabat, banyak lagi benda yang seorang ibu perlu lakukan. Bawa anak pergi cucuk vaksin, menyusu anak, mandikan anak, pakaikan baju anak, sediakan makanan untuk anak, basuh baju anak, gosok baju anak, sediakan beg anak untuk ke sekolah, bancuh susu anak kecil, basuh kencing dan berak anak kecil dan menyusu anak kecil. Cukuplah saya senaraikan setakat itu. Pendek kata, semua tentang menjaga anak ini, kebanyakannya semua kita mahu serahkan kepada ibu. Pada pengamatan penulis, boleh jadi, itulah yang menjadi punca kepada merosotnya kesihatan mental seseorang ibu. Sudahlah berdepan dengan risiko kemurungan selepas bersalin akibat tidak seimbangan hormon, malah berdepan pula masalah lesu upaya akibat tuntutan budaya setempat yang mengharapkan ibu sebagai pengasuh anak-anak pula.

Tuntutan budaya setempat ini tidaklah hanya unik di Malaysia sahaja. Tuntutan budaya yang menjatuhkan beban mengasuh dan menjaga anak jatuh kepada para ibu ini sebenarnya masih merupakan sebuah fenomena yang membelenggu para wanita seluruh dunia. Tidak cukup dengan itu, tuntutan budaya yang bersikap tidak adil kepada wanita ini juga menjadi faktor utama jurang pendapatan antara gender di kebanyakan negara seluruh dunia masih tidak mampu menguncup. Hal ini diterangkan dengan lebih jelas lagi daripada sebuah dokumentari Netflix “Explained”  yang memetik sebuah kajian dari Denmark yang mendapati bahawa trajektori pendapatan wanita selepas mendapat anak jatuh merudum berbanding lelaki walaupun juga setelah memperoleh anak.

Bagi membuktikan lagi bahawa masalah jurang pendapatan antara gender ini bukan semata-mata berpunca kerana diskriminasi bulat-bulat terhadap wanita, kajian sama turut mendapati trajektori pendapatan wanita setelah mendapat anak jatuh merudum secara signifikan berbanding wanita yang tidak mempunyai anak. Apalah bala dunia yang menimpa seorang ibu ini? Mahu bekerja lagi untuk tampung pendapatan suami yang tidak mencukupi. Kemudian perlu lagi jaga dan asuh anak-anak dan kemas rumah lagi. Kemudian, jaminan kenaikan pendapatan pula sudah tiada lagi. Mana tidak lesu upaya seorang manusia bernama ibu itu?

Masalah-masalah yang menimpa para ibu ini jika dibincangkan, boleh jadi tidak berkesudahan. Maka yang terbaik ialah kita bincangkan pula, bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan bagi menyelesaikan masalah ini? Secara idealnya, kita mestilah mahukan lebih banyak penglibatan pihak lain dalam keluarga selain ibu itu sendiri dalam menguruskan hal ehwal rumah dan asuhan anak, sebagaimana yang juga dinyatakan oleh saudari Roselinee dalam artikelnya di portal IKRAM tersebut. Maka, secara asasnya, hal ini perlu bermula daripada inisiatif sang suami itu sendiri.

Mahu tidak mahu, bagi mengurangkan bebanan ibu yang terpaksa menganggung segalanya tentang anak-anak daripada A hinggalah Z, seorang ayah itu haruslah mula memecah streotaip bahawa ayah juga merupakan pengasuh dan penjaga anak yang sama pentingnya dengan ibu. Maka mulalah ada yang sinis berkata, “Mana boleh ayah itu gantikan tugas ibu! Ayah mana yang boleh menyusu anaknya?”. Mungkin orang yang sinis itu terlupa bahawa kita kini hidup pada tahun 2022 dan teknologi sudah pun mendahului zaman. Masalah menyusu anak itu sudah lama boleh diselesaikan. Daripada pam susu ibu, khidmat ibu susuan hinggalah susu formula dan rujukan kepada pakar pemakanan bayi, insya-Allah, ada jalannya untuk isu tersebut.

Maka, jika masalah memberi susu kepada anak yang difikirkan hanya tugas wanita itu pun sudah selesai, maka tiada lagi alasan untuk para bapa untuk mengatakan tidak untuk sekurang-kurangnya mengambil alih sedikit sebanyak tugas mengasuh dan menjaga anak. Mungkin minggu ini giliran si ibu yang membawa anak ke klinik untuk cucuk vaksin. Dua minggu lagi si bapa pula yang bawa anak untuk tujuan sama. Boleh juga disusun begitu untuk urusan hantar anak ke sekolah dan untuk tanda tangan buku rekod pelajaran anak juga. Dalam konteks yang lebih besar lagi, ada kemungkinan juga perlunya penglibatan kuasa pembuat polisi bagi memastikan tuntutan budaya yang hanya menumpukan tanggungjawab menjaga anak hanya jatuh ke atas ibu ini berubah serta-merta.

Contohnya, di Iceland, bermula tahun 2021, kerajaannya telah memanjangkan cuti bersalin ibu bapa daripada 10 bulan ke 12 bulan. Yang dimaksudkan dengan “cuti bersalin ibu bapa” ialah ibu dan bapa kepada anak yang baru lahir masing-masing boleh membahagikan cuti bagi menjaga anak mereka sama banyak dan mereka berdua berhak mendapat 80 peratus daripada pendapatan tetap mereka jika mereka berdua bekerja sepenuh masa.Wujudnya polisi yang secara langsung mewajibkan bapa juga mengambil cuti bagi menjaga anak ini bermakna kini lelaki juga dituntut secara undang-undang bagi meluangkan masa mengasuh anak-anak mereka.

Selain itu, tuntutan melalui undang-undang ini juga mampu menggalakkan lebih banyak lagi penglibatan kaum bapa dalam penjagaan dan asuhan anak-anak mereka walaupun setelah tamat tempoh cuti menjaga anak yang diwajibkan kerajaan mereka. Mungkin polisi yang seprogresif ini masih jauh lagi untuk diwajibkan di Malaysia. Namun inisiatif kendiri para bapa bagi meringan beban para ibu seharusnya menjadi norma baharu pada zaman yang menuntut kesetaraan gender ini. Pada akhirnya juga, seorang anak itu tidak lain juga mengharapkan kasih kedua-dua ibu dan bapanya juga, bukan hanya mengharap pada salah seorang ibu atau bapanya juga, bukan?

Wan Salman Wan Sallam ialah aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast