Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Razim Mohd. Noor (tengah) bersama Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Hatta Mohd Yasin (dua kanan) bergambar bersama peserta selepas Majlis Perasmian Penutup Program Antirasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan kepada Badan Sukan 2022 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 25 SEPTEMBER 20222.

PUTRAJAYA – Lebih 800 persatuan sukan di negara ini sudah dibatalkan pendaftarannya kerana tidak aktif sejak Januari tahun ini hingga 31 Ogos lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Hatta Mohd Yasin, pembatalan dibuat kerana kesemua persatuan ini didapati tidak menghantar laporan tahunan mereka kepada Pesuruhjaya Sukan.

“800 persatuan sukan dibatalkan kerana soal tadbir urus dan tidak menghantar laporan dalam tempoh masa lebih tiga tahun.

“Secara keseluruhannya daripada 12,000 yang didaftarkan sebelum ini,” katanya dalam sidang media sempena Program Anti-rasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan kepada badan sukan 2022 di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, memang wujud rasuah dalam industri sukan di negara ini termasuk salah guna dana, salah guna kuasa dalam kalangan kakitangan industri sukan.

“Ada dan wujud dalam industri sukan terutamanya dari segi salah guna kuasa pengurusan dana.

“Jadi bagi mereka yang tamak dan nak dapatkan duit dengan cara mudah maka dana itu tidak sampai ke kumpulan sasaran,” katanya.

Katanya, terdapat kelemahan-kelemahan dalam sistem tadbir urus kewangan dalam persatuan sukan berkenaan menyebabkan rasuah mudah dijalankan.

“Kita (SPRM) akan bantu agensi berkenaan memperkemaskan lagi sistem dan prosedur dalam operasi harian mereka.

“Mungkin di sana terdapat lompang-lompang yang boleh berlakunya aktiviti rasuah,” ujar Razim lagi. – MalaysiaGazette