Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Kongres Khas Parti 2022 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tidak akan terjadi sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak membentuk kerajaan selepas PRU14 lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekiranya landskap politik tidak berubah, ahli Parlimen Pekan itu akan kekal sebagai Perdana Menteri dan dakwaan salah laku rasuah tidak terbongkar.

“Pemenjaraan Najib merupakan manifestasi makna perubahan bersejarah pada 9 Mei 2018.

“Datuk Seri Najib akan kekal sebagai Perdana Menteri sekiranya PH tidak berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU14.

“Najib akan kekal sebagai Perdana Menteri sampai hari ini dan bukannya merengkuk di Penjara Kajang menerima hukuman yang setimpal dengan jenayah rasuah besar yang dilakukan,” katanya berucap pada Kongres Khas DAP 2022 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Loke juga berkata, apa yang berlaku ke atas Najib mesti menjadi pengajaran kepada semua pemimpin politik termasuk diri DAP supaya tidak sesekali menyalahgunakan kuasa dan melakukan jenayah pecah amanah.

“Tidak seperti sebuah parti yang lain, DAP menentang rasuah tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Kita benci kepada perasuah tak kira bernama Najib ataupun Jho Low, yang menerima atau memberi sama-sama salah, lebih-lebih lagi menjadi “mastermind”,” katanya.

Tambahnya, DAP bersama parti komponen PH perlu menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dengan menjadikan perang terhadap rasuah sebagai misi dan agenda utama perjuangan politik mereka untuk memenangi PRU15.

“Perang terhadap rasuah dan membudayakan integriti dalam kalangan rakyat Malaysia mesti menjadi nadi pentadbiran PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast