Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 akan mengekalkan fokus pada momentum pemulihan ekonomi negara di samping mengutamakan pembaharuan berterusan untuk meningkatkan kebajikan rakyat serta menambah baik daya saing perniagaan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul
Aziz berkata, ia bagi membolehkan Malaysia bersedia untuk menempuh sebarang cabaran yang akan datang.

Menurut beliau, Bajet 2023 juga akan memberi tumpuan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mencapai ketahanan dan daya saing yang tinggi.

Ia melalui penerapan teknologi yang inovatif, serta menaik taraf pembangunan modal insan dan tenaga kerja golongan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) negara ini, katanya.

“Namun banyak cabaran yang bakal dihadapi bagi suku keempat dan tahun 2023.

“Ia ekoran perang di Ukraine yang berterusan, prinsip Covid-sifar China, pendekatan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dalam menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi, dan gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB), Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Tengku Zafrul menambah, sebagai sebagai pemudahcara sektor perniagaan, agensi seperti CGC dan SJPP harus bersiap sedia bagi terus membantu PMKS dalam mempertahankan pemulihan yang telah dicapai pada pasca-pandemik.

“Dalam membina daya tahan, automasi dan pendigitalan juga penting dan pastinya akan terus diberi penekanan di dalam Bajet 2023.

“Walau apa cabaran sekali pun, seperti yang telah terbukti semasa zaman pandemik, kita akan capai keberhasilan positif melalui usahasama kita membantu sektor perniagaan bertahan dan bangkit semula,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengulangi jaminan komitmen kerajaan dalam menyokong dan memudahkan urusan perniagaan untuk semua pemilik perniagaan, khususnya PMKS.

“Harapan saya sekiranya semua perniagaan akan meneruskan usaha mereka dalam peralihan ke arah pemulihan dan memanfaatkan persekitaran perniagaan baharu dengan peluang yang sedia ada di peringkat tempatan dan serantau.

“Saya ingin juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada CGC, SJPP dan CIMB.

“Saya kagum dengan usaha secara kolektif ini dalam memastikan PMKS Malaysia, sebagai tulang belakang ekonomi, terus beradaptasi dan berkembang maju dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah,” katanya. – MalaysiaGazette