Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar melihat kapasiti dalaman hospital selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Tanjong Karang di Hospital Tanjong Karang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2022.
TANJONG KARANG – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kesesakan wad bersalin di hospital kerajaan di seluruh negara hanya bersifat sementara.
Beliau berkata, ia disebabkan trend peningkatan kelahiran bayi yang tinggi pada September hingga November setiap tahun.
“Statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kemuncak peningkatan kelahiran direkodkan pada Oktober turut menyebabkan masalah kekurangan katil.
“Perkara ini merupakan fakta yang diperoleh pada setiap tahun dan bukannya sengaja direka.
“Ianya bermusim dan tidak dapat dielakkan kerana jumlah kelahiran bayi yang tinggi sepanjang tempoh tiga bulan tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar hadir ke Majlis Penyerahan Kompleks Baharu Hospital Tanjong Karang di sini.
Sebelum ini, media melaporkan wanita
yang bersalin di beberapa hospital kerajaan terpaksa ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi.
Malah ada wanita yang terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil.
Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, kesesakan wad itu turut berpunca faktor peningkatan jumlah pesakit yang perlu dipantau akibat komorbiditi dan berisiko tinggi.
“Ia turut melibatkan faktor rawatan bayi baru lahir yang tinggal di wad dalam tempoh agak lama.
“Ada pesakit tidak dapat discaj (dibenarkan keluar) awal kerana kekangan termasuk ahli keluarga bekerja dan belum bersedia datang pesakit,” jelasnya.
Berikutan itu, KKM sedang berusaha memperkukuhkan pengurusan katil di wad bersalin dan mempercepatkan proses discaj bagi kes berisiko rendah.
“Kita mahu mengurangkan masa menunggu di wad dan merancang menyediakan katil tambahan di hospital berdekatan.
“Penilaian ke atas wanita bersalin yang berisiko rendah akan dilakukan bagi membolehkan mereka dihantar ke pusat bersalin sekali gus mengurangkan kesesakan hospital,” katanya lagi. – MalaysiaGazette