Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Beberapa hari semenjak berita mengenai pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tular baru-baru ini, Pas hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa perbincangan mengenai Muafakat Nasional (MN) masih lagi berjalan.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perbincangan itu turut dibuat bersama-sama parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita turut mengadakan perbincangan dengan parti di Sarawak dan Sabah. Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pergi berjumpa dengan pemimpin parti terbabit.

“Kita berbincang untuk wujudkan kestabilan politik dalam negara terutama selepas PRU15 nanti,” katanya memetik laporan HarakahDaily, hari ini.

Takiyuddin berkata demikian merujuk kepada laporan media bahawa wujud cubaan untuk menghidupkan kembali MN yang statusnya masih menjadi teka teki masa kini.

Jumaat lalu, wujud dakwaan bahawa Ahmad Zahid dan Abdul Hadi mengadakan pertemuan bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.

Pertemuan itu diadakan kedua-dua pihak pada Selasa lalu malah hasil perbincangan itu didakwa akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September depan.

Sebelum ini, Pas beberapa kali mengeluarkan kenyataan bahawa mereka lebih mesra kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berbanding Pakatan Harapan (PH).

Malah Takiyuddin sendiri sebelum ini berkata, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh pada PRU15.

Piagam MN dimeterai UMNO dan Pas pada 14 September 2019 antara Ahmad Zahid dan Abdul Hadi.

Ia antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Piagam berkenaan ditandatangani kedua-dua presiden parti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dalam Himpunan Penyatuan Ummah. – MalaysiaGazette