ringgit
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pas diingatkan bahawa parti itu akan menerima beban sekiranya menjadikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, rakyat akan menghukum parti yang bersekutu dengan Bersatu.

Rakyat menolak Bersatu kerana parti tersebut mempunyai pemimpin yang melompat parti dan terlibat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang didakwa telah menipu pengundi.

“Secara ringkas, dari dulu saya sudah kata bahawa jika Pas ingin bekerjasama dengan UMNO, mereka perlu tinggalkan parti pengkhianat Bersatu. Ini cadangan penyelesaian daripada saya buat Pas.

“Sebab jika UMNO terima Pas dan Pas masih ingin pikul pengkhianat Bersatu tersebut, kita semua akan terkena getah dan akan bersama-sama pula dihukum rakyat dalam pilihanraya kelak sebab rakyat tolak pelompat parti dan penipu manifesto iaitu Bersatu ini,” kata Isham.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang meminta Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih cermat mengeluarkan kenyataan mengenai musuh bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurut Hashim, Muhyiddin harus mengutamakan kepentingan ummah dan bekerjasama dengan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu Isham menegaskan, bukanlah suatu tindakan yang bijak buat UMNO dan Barisan Nasional untuk menerima Bersatu.

“Islam mengajar kita untuk menjadi bijaksana dan tidak sewenang-wenang menerima pengkhianat, orang munafik atau pemecah belah ke dalam kesatuan kita.

“Sebab jika kita terima duri dalam daging, ia akan membunuh kita dari dalam dan memecahbelahkan ukhwah sesama kita,” katanya.

Beliau berkata, Pas tidak boleh mementingkan diri dengan mengharapkan dana daripada Muhyiddin dan pada masa yang sama minta kerusi daripada UMNO.

Tindakan itu katanya, bukanlah strategi dalam adat persahabatan yang ikhlas sebaliknya ia merupakan strategi orang yang tidak boleh dipercayai kerana mengambil kesempatan.

Justeru jika Pas hanya mahu mendengar cadangan diri sendiri dan hanya mengambil kira dan pentingkan keuntungan diri sendiri sahaja maka adalah lebih baik untuk parti itu kekal bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional.

“Dengan ini menang atau kalah mereka bersama tanpa menipu atau memuslihat orang lain untuk kepentingan diri sendiri,” kata Isham. – MalaysiaGazatte