Polis Melaka menahan tiga lelaki dan merampas minyak diesel bersubsidi haram bersama barangan memindahkan bahan bakar itu yang dianggarkan bernilai RM346,600 di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini semalam.

MELAKA – Polis Melaka menahan tiga lelaki dan merampas minyak diesel bersubsidi haram bersama barangan memindahkan bahan bakar itu yang dianggarkan bernilai RM346,600 di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 31 hingga 55 tahun itu dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu oleh Pasukan Risik Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya ketika serbuan, ketiga-tiga suspek yang berperanan sebagai penjaga stor dan pemandu lori sedang memindahkan minyak diesel dari sebuah lori ke dalam sebuah tangki besi.

“Hasil pemeriksaan menjumpai sebuah lori bersama 3,000 liter minyak diesel, masing-masing satu sebuah tangki besi dan pam, tiga buah tangki skid serta tiga set hos lutsinar.

“Turut dirampas, lapan unit tangki IBC (intermediate bulk containers), enam pam minyak diesel, 11 hos lutsinar dan 33,000 liter minyak diesel bersubsidi dengan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM346,600,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher Patit

Tambahnya,  sindiket itu menggunakan modus operandi sama dalam beberapa tangkapan sebelum ini iaitu membeli minyak diesel bersubsidi daripada stesen minyak sekitar Melaka sebelum menjualnya di pasaran industri pada harga yang lebih tinggi.

“Dengan rampasan ini, kita percaya telah berjaya memutuskan salah satu aktiviti sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di negeri ini.

“Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama,” katanya.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga 100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.