Kayveas.

BAYAN LEPAS – Selepas dilanda krisis pembatalan parti, Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas menyatakan hasratnya untuk bertanding kerusi Parlimen Ipoh Barat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kerusi Parlimen itu menjadi pilihannya susulan pelbagai program menyantuni rakyat di kawasan berkenaan dilakukan khususnya di Buntong.

“Saya telah mendapat surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan saya presiden MyPPP dan boleh mentadbir mengikut perlembagaan parti jadi kita ambil keputusan untuk bertanding pada PRU15 ini.

“Ipoh barat menjadi pilihan saya untuk bertanding namun sekiranya kita gabung dengan parti-parti tertentu dan kerusi Cameron Highlands dikembalikan untuk saya akan bertanding di sana.

“Bagaimanapun, tiada sebarang keputusan dibuat ketika ini untuk menyertai mana-mana kumpulan besar politik. Kemungkinan juga kami akan bertanding secara solo dan semua itu akan diputuskan nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Setia Spice Arena semalam.

Ketika diminta mengulas sama ada MyPPP mampu menang sekiranya bertanding secara solo, Kayveas menegaskan parti itu pernah menguasai Perak secara sendiri sehingga 1974 sebelum menyertai Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, kekuatan serta kepercayaan rakyat terhadap parti itu merosot selepas mereka menyertai BN dan kemuncaknya apabila tiada rundingan dibuat bersama MyPPP membabitkan pengagihan kerusi pada PRU14 lalu.

“Sampai i (Kayveas) bergaduh pasal kerusi Cameron Highlands baru mereka (BN) gantikan dengan kerusi Parlimen Segambut. Sedangkan semua orang tahu BN tak boleh memang di sana.

“Jadi kita rasa kalau nak masuk balik mana-mana satu kumpulan besar politik susah nak dapat kerusi, lebih baik kita berjuang sendiri demi kesejahteraan rakyat.

“Dulu arena politik negara kalau bertanding solo sukar untuk menang tapi kini semuanya telah berubah rakyat tak sokong kumpulan-kumpulan dulu dan mereka (rakyat) mahukan satu pimpinan politik dengan ideologi yang baharu jadi kita sedang berusaha ke arah itu,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan