Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Isu kod ‘merpati’ yang sedang dimainkan pembangkang mempunyai kaitan dengan pembunuhan karakter bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan menggunakan senjata politik itu, musuh Barisan Nasional (BN) mahu ‘membunuh’ nama baik seteru politik mereka.

Menurut beliau, mereka berharap nama Najib berjaya ‘dibunuh’ selepas dipenjarakan, namun aura ‘Bossku’ masih jadi sebutan rakyat hingga hari ini menyebabkan lawan BN jadi seriau dan meneruskan misi pembunuhan karakter ‘Bossku’ walaupun Najib kini berada dalam tahanan.

“Namun kita percaya dan yakin niat jahat lawan BN itu tidak akan berhasil kerana mereka terlepas pandang perkara pokok tentang ‘Bossku’,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli cuba memainkan isu kod ‘merpati’ bagi memfitnah kononnya Najib menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.

Walau bagaimanapun, perkara itu terbukti tidak benar dan telah dinafikan peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN memberitahu, musuh BN gembira dan ‘meraikan’ apabila Najib dipenjarakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tetapi kegembiraan mereka tidak bertahan lama.

Beliau menambah, mereka meramalkan pemenjaraan Najib akan menamatkan aura ‘Bossku’ sekali gus melemahkan BN, tetapi sebaliknya yang berlaku.

“BN terus mara. Jasa dan budi ‘Bossku’ tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran di sebalik kebenaran, sekali gus melonjakkan lagi keyakinan dan kepercayaan majoriti rakyat untuk memberi kemenangan besar kepada BN dalam PRU-15 akan datang,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, seperti yang pernah dijelaskan oleh Najib, makna sebenar slogan ‘Bossku’ adalah rakyat.

“Justeru, adalah mustahil untuk lawan BN melenyapkan aura ‘Bossku’ yang sebenarnya merupakan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast