Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut selepas tertimbus akibat lantai konkrit bangunan dalam binaan di tingkat 51 runtuh dalam kejadian tengah malam tadi.Ihsan Bomba dan Penyelamat KL

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja pembinaan maut selepas kerangka besi lantai konkrit di sebuah bangunan dalam pembinaan runtuh di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.

 

Kejadian dilaporkan berlaku pada tengah malam tadi di Oxley Tower yang sedang dalam pembinaan di Jalan Ampang hari ini.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nurul Adha Abdul Majid berkata, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.23 pagi memaklumkan mengenai insiden runtuhan itu.

“Bertindak atas maklumat kecemasan itu, dua jentera bomba dan penyelamat telah bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan seramai 20 orang anggota.

“Setibanya di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati berlaku runtuhan konkrit di tingkat 51 bangunan dalam pembinaan dan runtuhan tersebut melibatkan seorang mangsa tertimbus.

“Anggota bomba bertindak memotong dan memecahkan besi konkrit bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan dan selepas lebih enam jam akhirnya mangsa telah berjaya dibawa keluar dari timbunan konkrit oleh anggota bomba pada jam 7.21 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan ringkas pagi ini.

Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden tersebut.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai laporan mati secara mengejut (SDR),” ujarnya. – MalaysiaGazette