KUALA LUMPUR – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) diberi notis merah atau Notis Cadangan Pembatalan badan sukan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada 15 September lalu.
Pesuruhjayanya, Ibrahim Mohd Yusof berkata, PSM telah diberi tempoh selama 14 hari bekerja bagi mengemukakan rayuan mereka kepada PJS menjawab notis yang diterimanya dengan alasan munasabah menyokong rayuan mereka.
“PSM ada 14 hari bekerja untuk merayu kepada notis merah itu yang mana tempoh rayuan terbabit akan berakhir Jumaat ini atau 30 September ini.
“Pun begitu, mereka (PSM) masih dibenarkan meneruskan aktiviti dan program sukan mereka, kerana dia belum dibatalkan sepenuhnya yang dikeluarkan sekarang cuma notis cadangan pembatalan sahaja tetapi persatuan itu tidak terbatal.
“Maka apabila menerima rayuan dan penjelasan mereka, barulah kita PJS di sini boleh memperhalusi dan mempertimbangkannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 yang telahj disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini.
Sebanyak 99 badan sukan telah menerima anugerah penarafan bintang termasuk lima persatuan bertaraf nasional antaranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang turut menyentuh isu pertikaian antara PSM dengan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF).
Menurutnya, beliau sendiri kini sedang mengadakan libat urus dan perundingan dengan pihak PSM dan juga MASTAF untuk mencari titik penyelesaian yang muktamad.
“Akhirnya apa yang KBS nak dalam soal pertikaian antara PSM dan MASTAF adalah supaya sepak takraw itu dapat dimartabatkan sepenuhnya bukan sekadar untuk kita tetapi juga peringkat persatuan, negeri dan daerah.
“Jika teruskan perselisihan faham mereka sesama sendiri dan akhirnya ia akan merugikan persatuan sukan itu sendiri sehingga mampu menggugat prestasi kemajuannya.
“Oleh itu, saya nak cari jalan tengah dan tidak mahu mengulas banyak tentang isu itu, mahu mendapatkan jalan yang mengharmonikan semua pemimpin dalam sukan sepak takraw di semua peringkat agar ia dapat diperkasakan sebaik-baiknya,” katanya.
Ditanya berkemungkinan KBS mempunyai cadangan tersendiri penggabungan antara PSM dan MASTAF, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, sebenarnya beliau mempunyai banyak cadangan untuk mengharmonikan kedua-dua pihak itu yang akan dibincangkan bersama semua pihak berkepentingan.
Justeru katanya, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan untuk menyiasat pertikaian PSM dan MASTAF yang mana ia akan menasihati menteri KBS membuat keputusan terbaik antaranya sama ada pembatalan perlu dibuat atau sebaliknya selain mencari jalan harmoni menyelesaikan pertikaian demi masa depan sukan itu.
“Saya juga akan membentangkan hasil rundingan isu membabitkan PSM ini kepada Kabinet nanti bagi mengelak masalah berulang lagi,” jelasnya.
Ditanya sama ada isu itu dapat berakhir dalam tempoh terdekat dengan jalan penyelesaian yang terbaik memandangan sudah lama berlarutan, Ahmad Faizal menyatakan keyakinan ke arah itu kerana ia juga menjadi harapannya.
“Yalah..itulah kita semua harapkan. Alhamdulillah media pun jangan nak spekulasi atau nak bagi panaskan situasi dan jangan tanya orang nanti silap cakap orang terasa hati yang mana sebenarnya kita semua ada tanggungjawab memperkasakan sukan tanahair,” tegasnya. – MalaysiaGazette