MELAKA – Bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM248,000 selama setahun mulai 2020.
Tertuduh, Hazri Mokhtar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 26 pertuduhan yang dibacakan hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan bernilai RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh agensi itu kepada sebuah syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd bagi kerja-kerja Outsourcing Linehaul dan Shuttle Services di Sabah dan Sarawak.
Kesemua wang suapan itu diperolehi melalui pindahan dalam atas talian ke dalam dua akaun bank miliknya daripada syarikat berkenaan antara di Bank Simpanan Nasional di Lot 779 Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara 8 Julai 2020 dan 11 Oktober 2021.
Semua kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh telah berhenti kerja dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.
Anak guamnya juga menghidap sakit gaut dan turut mempunyai masalah kesihatan selain perlu menyara ibu serta ayah mentua di kampung manakala isteri hanya bekerja sebagai guru sekolah menengah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM35,000 dengan syarat penjamin adalah isteri tertuduh sebagai selain bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dicadangkan.
Elesabet turut menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.