Polis Melaka mengesahkan penularan berita palsu dua kiriman suara melalui WhatsApp berdurasi 40 dan 36 saat yang mendakwa kononnya berlaku kejadian pelajar sekolah di Bukit Rambai, Melaka diculik.

MELAKA – Polis Melaka mengesahkan penularan berita palsu mengenai kegiatan penculikan pelajar sebuah sekolah di Bukit Rambai, Tanjung Minyak di sini yang tersebar melalui WhatsApp sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semakan mendapati tiada kejadian seperti didakwa melalui dua rakaman suara lelaki yang tular itu.

“Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah mengesan dua rakaman suara penularan berita palsu di dalam aplikasi WhatsApp mengenai kononnya kanak-kanak culik oleh sebuah kereta di Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai dan sebuah van di kawasan sama.

“Hasil semakan mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan seperti didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

Semalam, tular dua kiriman suara melalui WhatsApp berdurasi 40 dan 36 saat yang mendakwa kononnya berlaku kejadian pelajar sekolah berkenaan diculik dan seorang lagi pelajar dilarikan sebuah van tidak dikenali selepas pelajar terbabit turun dari van sekolah.

Melalui audio yang tular itu, individu lelaki terbabit turut membuat hebahan meminta orang ramai berhati-hati dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak yang dibimbangi menjadi mangsa penculikan.

Mengulas lanjut, Christopher menasihati masyarakat agar tidak mudah percaya dan menyebarkan berita-berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

“Pihak polis akan terus mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan serta menyebarkan sebarang berita palsu dalam platform media sosial.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menyebarkan ketakutan dan kegentaran kepada awam,” katanya.

Sabit kesalahan, katanya boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya; dan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. – MalaysiaGazette.