Presiden Azam Gemilang Group (AGG), Nur Azam Zamberi menunjukkan anugerah yang dimenanginya selepas temubual bersama Malaysia Gazette mengenai bekas pekerja kilang yang kini muncul sebagai perunding kewangan terbaik di DoubleTree by Hilton i-City, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 26 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Industri takaful memerlukan ramai tenaga anak muda namun golongan itu lebih gemar memilih pekerjaan mudah dan selesa walaupun hanya ditawarkan gaji mengikut tahap pendidikan.

Sebaliknya bagi perunding takaful berjaya, Nur Azam Zamberi berkata, anak muda yang sanggup belajar dan berkorban masa dan tenaga mampu meraih pendapatan tanpa had dalam bidang takaful.

Beliau menegaskan, tiada kerja yang senang di dunia ini dengan harapan mendapat gaji yang tinggi. Kata lelaki berusia 41 tahun ini, dia bermula dari bawah dengan tekad untuk mengubah nasib keluarga serta membantu orang lain.

Hari ini, beliau berjaya menempatkan dirinya sebagai salah seorang perunding kewangan yang berjaya selepas 15 tahun berkecimpung dalam industri takaful.

Bapa kepada empat anak ini kini meraih pendapatan enam angka sebulan dan bergelar jutawan pada usia 31 tahun dengan hanya lima tahun menjadi perunding takaful di Etiqa Family Takaful Berhad.

Presiden Azam Gemilang Group (AGG), Nur Azam Zamberi ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai bekas pekerja kilang yang kini muncul sebagai perunding kewangan terbaik di DoubleTree by Hilton i-City, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 26 SEPTEMBER 2022.

“Hidup bukan untuk orang yang pandai tetapi untuk mereka yang berani. Siapa yang belajar tinggi memang saya menggalakkan dan belajarlah sampai buat sarjana atau master tetapi semuanya bergantung kepada keberanian dan bukan kepandaian apabila berkait dengan kerja.

“Ramai hendak cari kerja senang tapi hendak duit banyak kerana kita sudah diasuh hidup senang kerana hari ini hendak membeli-belah semuanya di telefon bimbit.

“Sepatutnya anak muda kena kuat, berani dan kental kerana saya mahu menggalakkan anak muda menyertai industri takaful dengan membantu orang ramai mengurus duit.

“Namun kita perlu paksa diri dahulu untuk urus duit kita dengan betul dan baru kita boleh berkongsi kebaikannya dengan masyarakat,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di Shah Alam baru-baru ini.

Nur Azam yang merupakan lulusan Universiti Putra Malaysia dalam bidang sains komputer sanggup meninggal alam pekerjaan di sebuah kilang semikonduktor di Ipoh, Perak yang ketika itu menawarkan gaji hingga RM3,000 sebulan.

Namun tekanan yang dialami apabila bekerja syif selama 14 jam sehari selain pernah bekerja syif malam selama sebulan membuat dirinya mengalami tekanan dan mencari karier lain apatah lagi beliau berminat dengan dunia pengurusan kewangan.

Selepas 15 tahun berlalu, beliau yang kini Presiden Azam Gemilang (AGG) Group meraih pelbagai kejayaan antaranya 13 tahun berturut-turut mengunguli anugerah Agensi Million Ringgit dan Agensi Superstar dan melahirkan ramai agen bertaraf Million Dollar Round Table (MDRT).

Beliau juga puas melancong ke seluruh dunia saban tahun hasil insentif atas kejayaan yang diraih sebagai pengurus agensi.

Baru-baru ini, AGG terus melakar sejarah apabila memenangi anugerah prestij apabila dipilih Agensi Digital Terbaik dalam industri takaful di negara ini.

Agensi Azam Gemilang Group milik Nur Azam Zamberi terus melakar sejarah apabila memenangi anugerah prestij apabila dipilih Agensi Digital Terbaik dalam industri takaful di negara ini.

Mengulas lanjut, Nur Azam menambah, sebenarnya terdapat permintaan tinggi dalam kerjaya perunding takaful kerana ia mengajak masyarakat untuk bijak mengurus kewangan masing-masing.

Namun beliau berkata, orang ramai perlu membuang tanggapan negatif bahawa perunding takaful hanya mengejar atau mencari orang ramai untuk membeli pelan kad perubatan.

Sebaliknya kata beliau, industri takaful amat luas di mana merangkumi pengurusan kewangan antaranya simpanan pendidikan, persaraan dan hibah.

“Tapi sudah tentu ada penolakan prospek oleh masyarakat kerana ia sebahagian daripada permainan dalam industri ini. Contohnya jika kita ke kedai makan pun, kita hanya tempah satu menu dan tolak yang lain di mana kita tidak boleh anggap tidak suka menu lain.

“Sebagai perunding takaful pula, kita berjumpa orang untuk berkongsi manfaat dan bukan mencari orang. Ini kerana mencari ini apabila kita mencari orang yang hilang.

“Jadi penolakan adalah satu proses dan memerlukan kesabaran. Saya pada awal dalam industri ini melalui banyak pengalaman antaranya tidur di masjid dan bawah pokok sebelum menunggu janji temu. Itu belum lagi prospek tidak datang selain perlu membayar makan dan minum mereka namun enggan mengambil polisi takaful,” katanya.

Nur Azam menambah, selari dengan peredaran masa dan teknologi, perunding baharu di AGG kini tidak perlu risau kerana atas inisiatif dirinya sendiri, beliau mewujudkan sistem aplikasi pintar intraktif di telefon bimbit.

Dibangunkan dengan modal sendiri sebanyak RM20,000, beliau memberitahu, sistem itu membantu merekod semua aktiviti perunding sepanjang hari untuk dipantau oleh pemimpin atasan di AGG.

“Kelebihan sistem tidak ada pun di syarikat lain kerana ia sebagai satu sumber motivasi kepada perunding atau ejen takaful di AGG menjadi aktif. Ini kerana apa sahaja yang direkodkan aktiviti oleh mereka dalam sistem itu akan mendapat mata.

“Semakin banyak aktiviti seperti jumpa prospek, datang latihan dan seminar dan membaca buku kewangan akan diberi mata dan dikumpul untuk ditebus untuk membeli-belah di tempat yang terpilih termasuk Starbuck dan stesen minyak.

“Ini kerana kebiasaannya perunding tetap tidak memiliki waktu masuk kerja dan dengan sistem ini membolehkan pemimpin atas memantau mereka untuk menjadi lebih rajin,” katanya.

Presiden Azam Gemilang Group (AGG), Nur Azam Zamberi ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai bekas pekerja kilang yang kini muncul sebagai perunding kewangan terbaik di DoubleTree by Hilton i-City, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 26 SEPTEMBER 2022.

Nur Azam turut memberitahu, syarikat juga akan meperkenalkan insentif khas gaji untuk perunding separuh masa yang dikenali BESMART.

Kata beliau, mereka yang menyertai AGG akan mendapat elaun RM1,000 sebulan dan komisen.

Menurutnya, insentif itu adalah yang pertama di dalam industri takaful di mana kebiasaanya insentif tetap yang ditawarkan kepada perunding sepenuh masa sahaja. – MalaysiaGazette