Rafizi Ramli.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli melancarkan petisyen dalam talian bagi membantah pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim banjir.

Rafizi berkata, isu utama dalam menghadapi bencana banjir bukanlah berkaitan kesanggupan jentera parti mengharungi air untuk berkempen.

Sebaliknya, ia mengenai usaha semua pihak untuk membuat persediaan menghadapi bencana tersebut.

Dalam kenyataan Rafizi berkata, jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan diadakan semasa musim banjir.

“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal. Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU-15 dipanggil.

“Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mencadangkan peruntukan RM1 bilion untuk melangsungkan PRU15 wajar disalurkan terhadap usaha menangani bencana banjir.

Tambahnya, tenaga beratus ribu penjawat awam yang bertugas untuk mengendalikan pilihan raya boleh digunakan bersama-sama sukarelawan lain untuk membantu mangsa banjir.

“Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihanraya.

“Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.

“Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” rayu Rafizi.

Untuk rekod Ahmad Zahid dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar PRU15 diadakan sebelum musim tengkujuh bermula iaitu pada bulan Oktober dan awal November.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat akan melanda negara bermula pertengahan bulan November.

Beberapa agensi yang berkaitan bencana turut dilaporkan telah membuat persediaan bagi menghadapi banjir berdasarkan pengalaman bencana yang dialami sebelum ini.

Agensi terbabit juga telah mengenal pasti lokasi yang sering kali dilanda bencana tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bullshit! Ko masa banjir rakyat tengah susah pun ko apa buat? Ada ko redah banjir tolong rakyat? sembang kari

Comments are closed.