Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), John Riba Marin bercakap pada sidang media mengenai Ops Pemutihan 2.0 di Menara PERKESO, Kuala Lumpur. HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Berita Gembira untuk Orang Bekerja Sendiri (OBS) kerana tidak perlu lagi mencarum ratusan ringgit setahun untuk perlindungan dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kini anda hanya perlu membayar RM46.60 sahaja daripada caruman tahunan yang dikenakan iaitu RM232.80 melalui Skim Pekerjasaan Sendiri (SPS) Padanan Caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin berkata, melalui pelan berkenaan setiap individu OBS hanya perlu membayar 20 peratus sahaja daripada jumlah caruman tahunan manakala baki 80 peratusnya atau RM186.20 akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Katanya, peluang itu dibuka kepada OBS dalam lapan kumpulan sasaran untuk memohon dan memanfaatkan inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022 yang kini dibuka sehingga 31 Disember 2022 untuk mendaftarkan diri segera.

“Lapan kumpulan sasaran di bawah SPS Padanan Caruman ini termasuk golongan wanita yang bekerja sendiri (SPS) Usahawanita), orang asli, dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, OBS yang menggunakan aplikasi digital di bawah syarikat penghantara (SPS Gig), penjaja seperti pasar, gerai, kiosk dan food truck (SPS Jaja), OBS dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan, dan perhutanan (SPS Tani), OBS dalam sektor kesenian seperti artis, penyanyi, pelakon, kru produksi, kraftangan dan jurufoto (SPS Seni), OBS dalam sektor pelancongan (SPS Lancong) dan OBS yang kurang upaya (SPS Lain Upaya).

“Manakala dua lagi golongan mandatori atau yang wajib berdaftar dengan Perkeso iaitu Sektor Pengangkutan Penumpang dan Sektor Pengangkutan dan penghantaran Barangan atau Makanan (e-hailing) turut digalakkan untuk bermanfaat menerusi skim berkenaan sekiranya mereka layak (caruman RM46.60 setahun) dan boleh menyemak dengan cawangan Perkeso berhampiran,” katanya dalam sidang media khas di sini.

Selain itu, OBS dalam empat kategori sasaran seperti anggota pasukan sukarelawan dan penjawat awam pula digalakkan untuk merebut manfaat yang disediakan kerajaan menerusi SPS Khidmat yang turut diperkenalkan dalam Bajet 2022.

Katanya lagi di bawah SPS Khidmat, kerajaan membiayai sepenuhnya caruman bagi Pelan Caruman Kedua SKSPS kepada OBS yang layak untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Mereka termasuklah sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Rela; perkhidmat rumah ibadat Islam seperti imam, bilal, guru takmir, noja,siak, dan merbut;penyelia dan petugas pemulihan dalam komuniti.

Kerajaan juga akan membiayai sepenuhnya Pelan Caruman Keempat SKSPS bagi anggota atau penjawat awam berstatus kontrak untuk perkhidmatan.

John berkata, memandangkan tarikh tutup permohonan bagi kedua-dua inisiatif berkenaan adalah pada 31 Disember 2022, Perkeso menggesa golongan OBS dalam kumpulan sasar tersebut untuk segera melakukan semakan status dan permohonan bantuan tersebut. – MalaysiaGazette