nasrudin hassan syariat Pas kafir
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas kesal dengan kegopohan ‘jurucakap tanpa tauliah’ yang membuat kenyataan bertentangan dengan keputusan parti itu khususnya yang melibatkan pendiriannya terhadap parti-parti lain.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tindakan itu dikhuatiri akan disalahertikan sebagai ‘politik sailang’ bagi membuatkan Pas bungkam, kelu dan terjerat dengan keadaan yang berlaku.

Menurut beliau, Pas telah mempunyai keputusan atau sikapnya tersendiri yang telah pun diumumkan kepada masyarakat awam oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Penentuan sikap Pas sangat jelas dan konsisten. Melalui Agenda Perpaduan Ummah yang dibawa oleh Pas, Presiden telah mendukungnya dengan begitu cermat dan teliti berpaksi kepada keputusan Retreat Kepimpinan Pas, Mesyuarat AJK Pas Pusat dan Muktamar Tahunan Pas bahawa Barisan Nasional (BN) adalah rakan taawun (kerjasama politik) Pas. Justeru BN bukan musuh.

“Pas sedang memfokuskan usahanya untuk tidak membenarkan Pakatan Harapan (PH) kembali meraih takhta pemerintahan negara ini melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media di Putrajaya kelmarin menyatakan, Pas akan memuktamadkan hala tuju mereka dalam kerjasama antara UMNO mahupun Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Pengerusi PN itu menambah, perkara itu dizahirkan oleh Abdul Hadi dalam pertemuan yang diadakan Isnin lalu.

Polemik tercetus dalam PN ekoran kenyataan Muhyiddin yang mengisytiharkan bahawa BN adalah musuh utama PN pada PRU-15.

Sebelum ini, Abdul Hadi dan Takiyuddin telah menegaskan pendirian Pas yang menganggap BN dan UMNO sebagai rakan taawun dan pada masa yang sama, parti itu menolak sebarang kerjasama politik dengan PH.

Sehubungan itu, Nasrudin meminta semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan atau hasil perbincangan antara parti agar tidak dilihat bertentangan antara satu sama lain.

“Khasnya dalam perkara yang telah ada keputusan muktamad dari parti-parti yang terlibat termasuk Pas.

“Justeru, ia terlebih dahulu perlu diperhalusi dan kembali dirujuk kepada parti masing-masing dengan mengambil kira keputusan yang telah dibuat sebelumnya,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Pas berusaha memastikan parti-parti Melayu-Islam tidak bertembung sesama sendiri dan pada masa yang sama, membina hubungan erat dengan pihak bukan Islam yang tidak ekstrem dan memusuhi Islam.

“Andai kita mendahulukan keikhlasan dan ketulusan dalam menentu sikap berpolitik, insya-Allah segala perkara yang kusut dan khilaf boleh dirungkai dan diselesaikan menerusi meja rundingan,” katanya. – MalaysiaGazette

Pas umum hala tuju parti tidak lama lagi – Muhyiddin