PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sejumlah RM40,000 kepada 2,000 kakitangannya dalam Jualan Keluarga Malaysia MyRakyat di pekarangan kementerian itu, hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif itu diberikan kepada kakitangan KPKT yang bergred 54 dan ke bawah bagi membantu meringankan beban untuk mendapatkan barang keperluan asas.
“Sebagai tanda ambil berat, kita mulakan inisiatif Jualan Istimewa MyRakyat di peringkat kementerian dengan potongan harga barangan yang cukup istimewa sehingga hampir 60 peratus.
“Kupon khas bernilai RM20 diberikan kepada 2,000 warga KPKT pada hari ini untuk membeli barangan keperluan yang dijual dalam Jualan Istimewa MyRakyat ini,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPKT, di sini, hari ini.
Tambahnya, peruntukan yang disalurkan itu sebagai tanda prihatin dan ambil berat KPKT kepada warganya, apatah lagi yang banyak membantu rakyat ketika musim banjir.
“Semasa kejadian banjir yang berlaku pada akhir tahun lalu, kita ambil berat dan beri bantuan sewajarnya kepada Wira Merah kita.
“Mereka ini mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri, meskipun rumah mereka sendiri dilanda banjir.
“Begitu juga kepada kakitangan yang terjejas, kita beri bantuan sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette