NEPAL – Pasukan mencari dan penyelamat telah menemui mayat pendaki gunung ski terkenal Amerika Syarikat (AS), Hilaree Nelson dekat puncak Gunung Manaslu di Himalaya.
Nelson, 49, dikatakan sedang turun dari puncak tertinggi kelapan dunia bersama pasangannya apabila dia hilang pada hari Isnin.
Anggota penyelamat menemui mayatnya di muka selatan puncak setinggi 8,163 meter (26,781 kaki) pada hari Rabu.
Laporan awal mengatakan dia telah jatuh ke dalam celah glasier.
Nelson merupakan salah seorang pendaki gunung terbaik dalam generasinya.
Pada 2018, dia dan pasangannya Jim Morrison menjadi orang pertama yang bermain ski menuruni Gunung Lhotse di Nepal, puncak keempat tertinggi di dunia.
Dia juga adalah wanita pertama yang mendaki kedua-dua gunung tertinggi di dunia, Everest, dan Lhotse, yang terletak bersebelahan dalam satu tempoh 24 jam.
Morrison dan tiga pemandu Sherpa diturunkan daripada helikopter untuk mencari mayat Nelson dari kira-kira 6,000 meter di Manaslu pada pagi Rabu, kata penganjur ekspedisi.
“Mayat telah dibawa ke kem pangkalan. Selepas menyelesaikan prosedur undang-undang yang diperlukan, ia akan dihantar ke Kathmandu,” menurut laporan Kathmandu Post.
Ia merupakan operasi kedua selepas pencarian menggunakan helikopter tidak berjaya kerana cuaca buruk.
Pada hari yang sama Nelson hilang, seorang terbunuh dan lebih daripada 12 orang cedera dalam runtuhan salji di bawah puncak yang sama.
Dia dilaporkan terjatuh ke dalam celah ais hanya 15 minit selepas sampai ke puncak Manaslu, menurut saksi. – Agensi