rafizi shahrir
Rafizi Ramli (kiri) dan Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad percaya tidak ramai orang yang termakan ‘hasutan’ Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menggambarkan kononnya ekonomi Malaysia merudum akibat kelemahan kerajaan sedia ada.

Menurut beliau, bukan sesuatu yang luar biasa bagi Rafizi untuk buat cerita sekerat sahaja dan perkara itu yang biasa dilakukannya untuk menghasut.

“Tapi bukan semua orang tertipu. Kerana ramai yang faham pasal ekonomi dan kewangan.

“Macam mana nak mentadbir negara kalau asyik bercerita sekerat-sekerat sahaja?

“Sebab itu masa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, semuanya jadi tunggang-langgang,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Rafizi kini aktif bergerak ke pelbagai lokasi di seluruh negara berkempen untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PH yang semakin pudar selepas kegagalan mereka menunaikan sebahagian besar janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu.

Beliau mengambil jalan mudah dengan menyalahkan kerajaan sedia ada atas masalah ekonomi yang sebenarnya berpunca daripada kelembapan ekonomi global serta kesan perang Rusia-Ukraine.

Pada masa yang sama, Rafizi cuba menutup kelemahan PH semasa 22 bulan berkuasa dahulu termasuk kegagalan menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter serta mungkir janji untuk memansuhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). – MalaysiaGazette