KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima sebanyak 919 aduan berhubung kesalahan dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 hingga kini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesalahan aduan itu melibatkan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu.
“Banyak kesalahan yang dilakukan dan kesalahan rasuah yang menjadi pilihan lazimnya melibatkan dua kesalahan iaitu penerimaan suapan dan salah guna kuasa.
“Kami terima sebanyak 312 maklumat kes penerimaan suapan dan 147 maklumat kes salah guna kuasa di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual bersama stesen radio Mutiara.fm, RTM Pulau Pinang secara langsung di Facebook hari ini.
Azam menambah, aduan membabitkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada kaum keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah.
Menurut beliau, kesalahan membuat tuntutan palsu untuk sesuatu kerja yang dilaksanakan juga banyak berlaku di Pulau Pinang.
“Sebagai contoh, individu yang kononnya melaksanakan sesuatu pekerjaan dan dia membuat tuntutan palsu (untuk kerja yang dilaksanakan) seolah-olah dia yang buat kerja itu, ia banyak berlaku dan amat merugikan.
“Saban hari ia semakin meningkat, saya minta semua ketua jabatan untuk memantau pegawai mereka yang diberikan kuasa dalam memutuskan sesuatu keputusan dan dari segi tadbir urus,” katanya.
Azam memberitahu, penjawat awam adalah kumpulan sasar pertama SPRM kerana mereka nadi pentadbiran kepada sesuatu negeri dan dalam negara ini.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk melihat isu rasuah dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang dan di negeri-negeri lain,” katanya. – MalaysiaGazette