Khalid Abdul Samad.- Foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Dakwaan hidup rakyat menderita semasa 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai modal basi Pas dan UMNO untuk menyerang parti tersebut.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad berkata, naratif ‘derita 22 bulan’ hanya terkesan kepada UMNO dan Pas.

“Bagi UMNO, ‘derita 22 bulan’ bermakna pemimpin mereka tidak lagi boleh sakau duit rakyat dan negara kerana tidak lagi menjadi kerajaan seperti yang berlaku dalam kes 1MDB.

“Sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, memang UMNO amat menderita kerana tanpa kuasa kerajaan, tiada lagi sumber kewangan untuk diagih-agihkan kepada kroni mereka melalui pemberian kontrak dan projek kerajaan.

“Ketika menjadi kerajaan dahulu, selepas menjarah kewangan negara melalui pelaksanaan projek-projek yang mengkayakan kroni dan suku-sakat mereka, GST pula dilaksanakan untuk menampung sumber negara yang semakin susut,” kata Khalid dalam kenyataan.

Disebabkan itulah UMNO telah ditolak pengundi dalam PRU.

Beliau mendakwa UMNO kini hanya bermain drama air mata dan berlagak sebagai juara rakyat untuk membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

“Walaupun UMNO juga yang menjadi juara isu-isu perkauman dan agama.

“Hukuman penjara terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membuktikan  memang wujud jenayah salah guna kuasa dan rasuah walaupun dianggap fitnah oleh UMNO dan Pas,” katanya.

Sementara itu Pas pula menurut Khalid, tidak perlu berlakon kononnya turut terkesan dengan ‘derita 22 bulan’.

Dalam tempoh tersebut kata Khalid, rakyat di Kelantan menyaksikan para pemimpin kerajaan negeri pimpinan Pas berbelanja mewah dengan membeli kereta rasmi Mercedes Benz.

Pada masa yang sama, hak rakyat Kelantan mendapat bekalan air bersih terus dinafikan.

“Dari mana kerajaan negeri Kelantan memperoleh kewangan yang besar sebanyak RM400 juta? Tentunya itu sumbangan daripada kerajaan PH sebagai royalti dan hak yang perlu dinikmati oleh rakyat Kelantan, bukannya untuk pemimpin bermewah-mewah.

“Selepas Pas dan UMNO menjadi kerajaan secara pintu belakang, adakah nasib rakyat sudah bertambah baik? Tidak sama sekali. Malah situasi semasa menunjukkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Harga barangan pun tidak terkawal walaupun dahulu UMNO dan Pas begitu lantang berkempen Buy Muslim First (BMF). Ke mana perginya kempen itu sekarang?” tanya Khalid.

Pas menurut beliau, gagal menunjukkan contoh yang baik apabila menganjurkan Kedah Fashion Week 2022 dan pertandingan bina badan wanita di Kedah serta konsert di Ketereh, Kelantan.

Penganjuran acara itu menunjukkan sikap hipokrit Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai sistem pemerintahan.

“Apa yang Pas lakukan hanyalah ‘mencuci kaki’ sahaja dengan mengaut kejayaan hasil pentadbiran cekap PH seperti yang berlaku pada Tabung Haji.

“Nasihat kami kepada UMNO dan Pas, berhentilah menjadi golongan munafik yang berpolitik dengan prejudis yang jahat dan tidak berasas. Berpolitiklah secara matang dan membina,” katanya.

Khalid turut mempersoalkan pendirian UMNO dan Pas kini mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, ICERD dan Dong Zong yang ditimbulkan ketika pentadbiran PH.

Isu-isu tersebut dakwa Khalid merupakan permainan persepsi UMNO dan Pas untuk menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama. – MalaysiaGazette