Gambar hiasan

KUALA LUMPUR -Sebanyak 224 laporan polis dibuat berkaitan warga Malaysia yang terpedaya dengan sindiket penipuan bekerja di luar negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, jumlah laporan polis itu diterima sejak awal tahun 2021 hingga September 2022 daripada ahli keluarga dan rakan kenalan mangsa.

“Daripada jumlah laporan polis yang diterima, seramai 284 orang yang telah menjadi mangsa, dengan 174 orang mangsa masih terkandas di luar negara dengan sindiket penipuan itu.

“Manakala seramai 110 orang mangsa lagi telah berjaya diselamatkan serta dibawa pulang ke Malaysia.

“PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama ASEANAPOL dan INTERPOL untuk menangani penipuan tawaran kerja kepada warganegara Malaysia di luar negara,” katanya menerusi kenyataan tengahari ini.

Tambah beliau, PDRM juga turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri bagi menangani isu tersebut.

Menurut Noorsiah, masyarakat juga dinasihati supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika menerima tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial.

“Sila memastikan semakan mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dibuat dengan kementerian luar negeri, sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara.

“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut dapat diambil,” tegasnya. – MalaysiaGazette